Khamis, 14 March 2019 | 5:38pm

Harga minyak naik, Brent AS$67.61 setong

SYDNEY: Harga minyak naik lebih tinggi hari ini menghampiri paras tertinggi empat bulan yang dicatatkan pada sesi sebelumnya apabila pelabur tertumpu kepada pemotongan pengeluaran global dan gangguan bekalan di Venezuela.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan AS$67.61 setong pada 0054 GMT, naik 6 cent, atau 0.1 peratus, dari penutupan terakhir. Brent mencecah paras AS$67.76 setong, tertinggi sejak 16 November.

Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$58.29 setong, naik 3 cent atau 0.1 peratus, daripada penyelesaian terakhir. WTI mencecah paras tertinggi AS$58.48 setong, tertinggi sejak 13 November.

“OPEC meneruskan pemotongan pengeluaran di tengah-tengah isu penawaran yang berterusan, sementara situasi di Venezuela masih suram,” kata ANZ Bank dalam nota penyelidikan.

Dua tangki simpanan meletup di projek menaiktaraf di timur Venezuela pada Rabu, menurut sumber industri minyak, sementara terminal minyak utama negara itu menyambung semula penghantaran selepas lama tidak beroperasi.

Inventori minyak mentah jatuh sebanyak 3.9 juta tong minggu lalu berbanding jangkaan penganalisis iaitu peningkatan sebanyak 2.7 juta tong. - Reuters

Berita Harian X