X
Selasa, 12 March 2019 | 5:29pm
Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$66.82 setong, naik 24 cent, atau 0.4 peratus. - Foto hiasan
Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$66.82 setong, naik 24 cent, atau 0.4 peratus. - Foto hiasan

Harga minyak terus kukuh

SINGAPURA: Harga minyak naik hari ini apabila ketua OPEC, Arab Saudi mengetatkan pengeluaran bertujuan menyokong harga komoditi berkenaan, walaupun keuntungan dibatasi oleh peningkatan pertersan output AS dan kebimbangan terhadap ekonomi global.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS didagangkan AS$57,08 setong pada 0746 GMT, naik 29 cent atau 0.5 peratus, daripada penyelesaian terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$66.82 setong, naik 24 cent, atau 0.4 peratus.

Bank of America, Merrill Lynch, berkata walaupun keadaan ekonomi melemah, pihaknya optimis Brent mencecah paras AS$70 setong tahun ini dan menjangkakan WTI jatuh, dengan purata AS$59 setong pada 2019.

Harga minyak menerima sokongan meluas tahun ini daripada pemotongan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya seperti Russia dengan tujuan untuk mengetat pasaran.

Arab Saudi merancang untuk mengurangkan eksport minyak mentahnya pada April kepada tujuh juta barel sehari (bpd), sambil mengekalkan keluarannya di bawah paras 10 juta bpd berbandind pengeluaran sekitar 10.14 juta bpd pada Februari.

Peniaga berkata, krisis politik dan ekonomi di negara anggotanya,Venezuela turut memacu harga minyak mentah dunia.

Kongres yang dikendalikan oleh pembangkang di Venezuela semalam mengisytiharkan darurat selama lima hari yang melumpuhkan eksport minyak negara dan menyebabkan berjuta rakyat berebut untuk mencari makanan dan air. - Reuters

Berita Harian X