Selasa, 12 March 2019 | 10:13am
Niaga hadapan minyak mentah Brent pada AS$66.75 hari ini.

Harga minyak dunia meningkat

SINGAPURA: Harga minyak naik hari ini, selepas permintaan minyak global kembali meningkat dan pemotongan pengeluaran terkawal oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Harga minyak juga dipengaruhi dengan laporan pasaran kewangan walaupun penganalisis masih memberi amaran mengenai risiko kepada ekonomi global.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pada AS$56.97 setong pada 0054 GMT, naik 18 cents, atau 0.3 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Manakala niaga hadapan minyak mentah Brent pada AS$66.75 setong, meningkat 17 cents atau 0.3 peratus.

Harga minyak menerima sokongan meluas tahun ini daripada pemotongan bekalan oleh OPEC dan sekutunya seperti Russia, bertujuan untuk mengetatkan pasaran itu.

Bank of America Merrill Lynch, berkata walaupun terdapat tekanan ekonomi, Brent dijangka akan kekal mencecah AS$70 setong pada tahun ini manakala WTI akan jatuh, dengan purata AS$59 setong.

Katanya, sebahagiannya disebabkan permintaan untuk diesel marin, yang dijangkakan bermula tahun hadapan menjadi sebahagian daripada peraturan bahan api baru dari Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

-REUTERS

Berita Harian X