Khamis, 7 March 2019 | 6:08pm
Lakaran artis perumahan Serenia Adiva 2.

Sime Darby Property tampil Serenia Adiva 2

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (SDPB) akan memperkenalkan fasa perumahan terbaharunya Serenia Adiva 2 yang menawarkan 226 unit kediaman dengan harga bermula dari RM596,888 di Serenia City, Sabtu ini.

Pengurus Besar SDPB, Ir Mohd Idris Abdullah, berkata Serenia Adiva 2 adalah susulan kepada Serenia Adiva, fasa kediaman yang dilancarkan pada Oktober 2018 dan habis dijual dalam masa hanya tiga bulan.

“Produk kediaman di Serenia City menerima sambutan menggalakkan sejak pengenalan Serenia Amani, produk kediaman pertama di perbandaran ini yang terjual 100 peratus dalam tempoh hanya satu jam selepas dilancarkan pada Mac 2018.

“Ini disusuli dengan fasa pertama Serenia Adiva yang terjual sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dari pelancarannya pada Oktober 2018. Ini menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap produk yang ditawarkan di lokasi dan pada harga yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Idris berkata, keunggulan kualiti yang dibawa Serenia Adiva, rekaan pelbagai generasi dan harga yang kompetitif adalah faktor utama terhadap kejayaan produk kediamannya itu.

Beliau berkata, Serenia Adiva 2 adalah pembangunan pegangan bebas dengan saiz pembangunan seluas 18.72 ekar, terdiri daripada 226 unit kediaman dua tingkat berangkai 20’ x 75’ dengan kawasan terbina bermula daripada 1,874 kaki persegi.

Semua kediaman Serenia Adiva 2 menawarkan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi, dengan susun atur pelan lantai terbuka yang menggabungkan ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur untuk mengoptimumkan penggunaan ruang.

Ia juga direka bagi memenuhi keperluan pelbagai generasi.

Pintu masuk, ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur tetamu di aras bawah direka untuk memenuhi keperluan ahli keluarga yang berusia atau kurang upaya.

Serenia City terletak di lokasi dengan akses mudah ke pusat bandar Kuala Lumpur, Subang Jaya, Puchong, Putrajaya dan Cyberjaya.

Serenia City dihubungkan terus ke Lebuhraya ELITE melalui Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia yang meningkatkan lagi ketersambungan perbandaran itu, selain Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya MEX.

Perbandaran itu juga terletak berdekatan stesen ERL Salak Tinggi, KLIA dan KLIA2, Universiti Antarabangsa Xiamen dan Mitsui Outlet Park.

Berita Harian X