Rabu, 6 March 2019 | 8:17pm
 FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir pada 1,686.82 mata hari ini.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir pada 1,686.82 mata hari ini.

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini seiring dengan bursa-bursa serantau didahului kenaikan di Bursa Saham Shanghai.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir pada 1,686.82, naik 1.2 mata daripada 1,685.62 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.64 mata lebih rendah kepada 1,684.98 dan bergerak antara 1,684.08 dan 1,688.33 sepanjang dagangan hari ini.

Di papan skor, lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 532 berbanding 328, manakala 397 kaunter tidak berubah, 612 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.16 bilion unit bernilai RM2.5 bilion daripada 2.58 bilion unit bernilai RM2.11 bilion semalam.

“Di peringkat rantau, pasaran ekuiti meningkat sedikit selepas Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) memulakan mesyuarat 10 hari pada 5 Mac di Beijing.

“elabur akan mengikuti lebih dekat mesyuarat itu yang dijangka membincangkan pertumbuhan lembap dan ketegangan geopolitik yang dihadapi China,” kata peniaga.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pasaran pesat membangun mempunyai kesamaan dengan menunjukkan peningkatan semula yang kukuh daripada penurunan berterusan dan berperingkat pada Disember, apabila mencatatkan kenaikan hampir sembilan peratus.

“Bagaimanapun, kita yakin peningkatan semula itu, yang setakat ini belum menarik minat pelabur global kerana dana diuruskan secara aktif dan pasif mempamerkan aliran keluar semakin meningkat selain penjualan ketara sejak enam bulan lepas, menunjukkan pendekatan berhati-hati terhadap ekuiti kerana momentum ekonomi kekal negatif,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia semalam mengumumkan bahawa ia mengekalkan kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.25 peratus, sekali gus konsisten dengan jangkaan pakar ekonomi.

Nazri Khan berkata bank pusat turut menurunkan jangkaan inflasi pada 2019 kepada ‘stabil’ daripada ‘agak tinggi’.

“Keseluruhannya, FBM KLCI wajar diniagakan secara berhati-hati antara paras sokongan 1,680 dan paras rintangan 1,700,” katanya.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.54, Petronas Chemicals menokok 11 sen kepada RM9.30, Public Bank turun lapan sen kepada RM24.52 dan CIMB kurang tujuh sen kepada RM5.52.

Antara saham aktif, My EG meningkat 18 sen kepada RM1.19, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 32 sen, Velesto naik satu sen kepada 27 sen manakala VS Industry turun lima sen kepada RM1.03.

Indeks FBM Emas meningkat 41.55 mata kepada 11,771.36, Indeks FBMT 100 naik 35.91 mata kepada 11,625.11 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 90.42 mata kepada 11,763.27.

FBM 70 melonjak 157.82 mata kepada 14,150.14 manakala Indeks FBM Ace naik 31.98 mata kepada 4,720.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 73.45 mata kepada 17,557.36, Indeks Perladangan menokok 44.02 mata kepada 7,317.01 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri bertambah 1.65 mata kepada 169.61.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.41 bilion saham bernilai RM2.38 bilion daripada 1.76 bilion saham bernilai RM1.93 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 496.72 juta unit bernilai RM98.78 juta daripada 516.76 juta unit bernilai RM116.06 juta.

Pasaran ACE merekodkan jumlah dagangan sebanyak 250.20 juta saham bernilai RM51.75 juta berbanding 302.50 juta saham bernilai RM67.80 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 256.75 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (394.99 juta), pembinaan (230.52 juta), teknologi (456.99 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.61 juta), hartanah (145.69 juta), perladangan (41.08 juta), REIT (4.29 juta), dana tertutup (2,100), tenaga (703.04 juta), penjagaan kesihatan (38.88 juta), telekomunikasi dan media (21.56 juta), pengangkutan dan logistik (33.75 juta) dan utiliti (19.93 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X