Isnin, 4 March 2019 | 10:08am

Harga minyak mentah meningkat

SINGAPURA: Harga minyak mentah meningkat hari ini berikutan bekalan yang mengecil di tengah-tengah pengurangan hasil oleh pengeluar utama minyak mentah.

Selain itu, ia juga dipengaruhi oleh khabar angin bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China yang dilaporkan hampir memeterai perjanjian dagangan yang akan mengakhiri perang cukai antara kedua-dua negara.

Niaga hadapan Brent antarabangsa berada pada AS$65.46 setong, naik 39 cents atau 0.6 peratus daripada penutup terdahulu.

AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$56.16 setong, naik 36 cents, atau 0.6 peratus.

Rali berkenaan muncul berikutan laporan bahawa kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu semakin hampir untuk menamatkan pertikaian dagangan yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global.

Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping mungkin memeterai perjanjian rasmi di persidangan yang bakal berlangsung pada 27 Mac, menurut laporan Wall Street Journal pada Ahad lalu. -REUTERS

Berita Harian X