Isnin, 25 Februari 2019 | 5:14pm
FILE PHOTO - A pump jack is seen at sunrise near Bakersfield, California October 14, 2014. REUTERS/Lucy Nicholson/File Photo

Harga minyak susut, Brent AS$66.94 setong

SINGAPURA: Harga minyak merosot hari ini, diseret bekalan berlebihan ketika eksport Amerika Syarikat (AS) melonjak dan bersaing dengan pengeluar tradisional dari Asia Barat di pasaran utama seperti Asia.

Namun, pasaran masih disokong oleh keyakinan bahawa Washington dan Beijing akan menyelesaikan beberapa siri pertikaian perdagangan yang telah menimbulkan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi global, kata penganalisis.

Penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, Brent berada pada AS$66.94 setong pada 0747 GMT, susut 18 cents, atau 0.3 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Ia berakhir dengan sedikit perubahan pada Jumaat selepas mencecah paras tertingginya sejak 16 November pada AS$67.73 setong.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$57.15 setong, susut 11 cents, atau 0.2 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan WTI menokok 0.5 peratus pada Jumaat, mencecah paras tertingginya sejak 16 November pada AS$57.81 setong.

Peniaga berkata, penurunan harga adalah berikutan hasil bekalan minyak yang banyak di kalangan lonjakan eksport dari AS, memaksa pengeluar lain terutamanya Asia Barat untuk mula menawarkan minyak mentah mereka pada harga diskaun.

Pengeluaran minyak mentah AS mencecah rekod 12 juta tong sehari (bpd), peningkatan lebih dua juta bpd sejak awal 2018.

Eksport mencecah rekod 3.6 juta bpd bulan ini.

-REUTERS

Berita Harian X