Isnin, 25 Februari 2019 | 10:19am

Harga minyak mengukuh

SYDNEY: Harga minyak meningkat pada Isnin berikutan Washington dan China dilihat semakin hampir mencapai persetujuan perdagangan, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$67.26 satu tong pada 0005 GMT, naik 14 cent, atau 0.2 peratus, daripada penutup terakhir.

Kontrak itu ditutup berubah sedikit pada Jumaat minggu lalu selepas mencecah paras tinggi AS$67.73 setong yang dicapai pada 16 November 2018.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate berada pada AS$57.38 setong, naik 11 cent, atau 0.2 peratus daripada penutup terakhir.

WTI meningkat 0.5 peratus pada Jumaat, mencecah paras tinggi AS$57.81 setong yang dicapai pada 16 November.

“Harga minyak mentah terus mendapat sokongan daripada harapan bahawa dua ekonomi terbesar dunia itu akan mencapai persetujuan perdagangan dalam masa terdekat,” kata penganalisis pasaran kanan OANDA, Edward Moya.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump, berkata beliau akan menangguhkan kenaikan tarif AS terhadap barangan China yang sepatutnya dilaksanakan lewat minggu ini, disebabkan terdapat kemajuan dalam rundingan perdagangan terbabit.

Katanya, sekiranya rundingan itu terus berjalan lancar, beliau dan Presiden China, Xi Jinping, akan memuktamadkan perjanjian antara dua negara itu.

Selain itu, harga minyak turut mendapat dorongan daripada usaha mengurangkan bekalan minyak di pasaran global.

-- REUTERS

Berita Harian X