Jumaat, 18 Januari 2019 | 7:06pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Momentum belian berterusan di kaunter berkaitan indeks menolak naik Bursa Malaysia untuk ditutup lebih kukuh hari ini, selari rali dalam ekuiti global, didorong oleh sentimen pasaran yang positif susulan keyakinan terhadap rundingan perdagangan AS-China.

Pada penutupan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.25 mata untuk ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,692.22 berbanding 1,682.97 pada penutupan Khamis selepas susut serendah 1,681.89 pada satu masa.

Indeks utama dibuka lemah pagi ini namun berjaya pulih selepas lima minit berurus niaga, apabila pelabur tempatan mengambil petunjuk daripada prestasi bursa serantau yang tinggi.

Keuntungan dalam Petronas Chemicals dan Maybank merangsang indeks komposit, dengan menyumbang 5.525 mata selepas masing-masing meningkat 20 sen kepada RM8.60 dan 14 sen kepada RM9.55.

Kedudukan pasaran kekal kukuh dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 486 berbanding 369, manakala 365 kaunter tidak berubah, 672 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.05 bilion saham bernilai RM2.12 bilion berbanding 2.40 bilion saham bernilai RM2.04 bilion.

Prestasi Bursa yang lebih baik itu sebahagiannya disokong oleh momentum belian kukuh dalam saham bermodal kecil, yang menyaksikan FBM Small Cap Index melonjak 131.35 mata kepada 12,812.11.

Naib Presiden Kanan Phillip Capital Management Malaysia (pelaburan), Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pelabur ekuiti menyambut baik perkembangan terkini membabitkan pertikaian perdagangan AS-China, dengan harapan ‘rundingan akan mencapai arah tuju positif’ dan menyediakan unjuran positif untuk pertumbuhan global.

Wall Street Journal yang memetik sumber yang tidak dinamakan melaporkan bahawa Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dan pegawai lain bersedia untuk menarik balik beberapa atau semua tarif yang dikenakan ke atas import China dan mencadangkan pengurangan tarif, semasa perbincangan yang dijadual berlangsung di Washington pada 30 dan 32 Januari.

“Selain itu, perkembangan terkini Brexit dan peningkatan harga minyak, pada pandangan saya merupakan suatu pusingan V yang dramatik, dan perubahan ketara untuk FBM KLCI. Kami menyambut baik (perkembangan positif) ini,” kata Nazri kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 12 sen kepada RM24.80, Tenaga menokok lapan sen kepada RM13.68, dan CIMB menambah dua sen kepada RM5.67.

Bagi kaunter aktif, Bumi Armada melonjak enam sen kepada 22 sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 28.5 sen, Sumatec susut satu sen kepada setengah sen manakala MyEG turun enam sen kepada RM1.01.

Indeks FBM Emas meningkat 53.93 mata kepada 11,704.36, Indeks FBMT 100 meningkat 53.83 mata kepada 11,583.99, Indeks FBM Emas Shariah menokok 52.73 mata kepada 11,627.73, FBM 70 meningkat 24.56 mata kepada 13,777.56 manakala Indeks FBM Ace menambah 5.95 mata kepada 4,469.54.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 108.58 mata kepada 17,528.25, Indeks Perladangan naik 8.62 mata kepada 7,201.04, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.82 mata kepada 163.66.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.34 bilion saham bernilai RM2.00 bilion berbanding 1.72 bilion saham bernilai RM1.92 bilion yang dicatatkan pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 357.71 juta unit bernilai RM66.30 juta berbanding 389.69 juta unit bernilai RM76.86 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat ketara kepada 354.08 juta saham bernilai RM46.19 juta berbanding 293.12 juta saham bernilai RM38.97 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 183.93 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (280.04 juta), pembinaan (190.42 juta), teknologi (189.19 juta), SPAC (nil), perkhidmatan kewangan (40.29 juta) 73.74 juta), perladangan (43.89 juta), REIT (14.31 juta), dana tertutup (26,000), tenaga (1.16 bilion), penjagaan kesihatan (55.25 juta), telekomunikasi dan media (26.75 juta), dan utiliti (29.91 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X