Rabu, 16 Januari 2019 | 1:23pm

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi, dengan indeks utama kekal lemah susulan permintaan suram ke atas ekuiti, kebanyakannya di kaunter berkaitan indeks.

Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.27 mata kepada 1,672.15 berbanding 1,672.15 pada penutupan Selasa.

Ia bergerak antara 1,668.43 dan 1,676.34 selepas dibuka 3.64 mata lebih rendah pada 1,675.78.

Namun, kedudukan pasaran positif, dengan 362 kaunter untung, 312 kaunter rugi, manakala 335 kaunter tidak berubah, 867 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.35 bilion saham bernilai RM838.98 juta.

Seorang peniaga berkata sentimen di beberapa bursa Asia juga lemah, mengambil petunjuk daripada kehilangan undi penting oleh Perdana Menteri United Kingdom Theresa May di Parlimen semalam berhubung perancangan Brexit.

Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.25 peratus kepada 26,763.58, Nikkei 225 Jepun susut 0.61 peratus kepada 20,430.35, manakala Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.16 peratus kepada 3,217.28.

Dalam negara, Indeks FBM Emas susut 23.79 mata kepada 11,574.59, Indeks FBMT 100 turun 26.86 mata kepada 11,455.91, Indeks FBM Emas Shariah merosot 12.52 mata kepada 11,488.8 manakala Indeks FBM Ace susut 17.51 ​​mata kepada 4,442.27.

FBM 70 bagaimanapun meningkat 53.29 mata kepada 13,663.84.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menyusut 68.96 mata kepada 17,389.05 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.59 mata kepada 160.31, manakala Indeks Perladangan menambah 21.88 mata kepada 7,158.64.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.40, Tenaga turun 26 sen kepada RM13.58, Petronas Chemicals merosot enam sen kepada RM8.21, Public Bank turun 28 sen kepada RM24.70 manakala CIMB susut dua sen kepada RM5.65.

Bagi saham aktif, FGV dan V S Industry masing-masing menokok 2.5 sen kepada 95.5 sen dan 87 sen, manakala Fitters menambah satu sen kepada 41.5 sen dan Datasonic meningkat tiga sen kepada 52 sen.

-BERNAMA

Berita Harian X