Selasa, 15 Januari 2019 | 2:31pm

Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan aliran harga menurunnya untuk ditutup rendah pada akhir dagangan pagi susulan kurangnya minat belian di kebanyakan kaunter wajaran tinggi.

Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras susut 1.06 mata kepada 1,675.1 berbanding 1,676.16 pada penutupan Isnin.

Ia bergerak antara 1,672.55 dan 1,677.6 pada dagangan pagi, selepas dibuka 1.33 mata lebih rendah pada 1,674.83.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran yang lemah itu selari dengan penutupan lemah semalaman Wall Street serta data eksport dari China yang menjejaskan permintaan.

Kedudukan Bursa Malaysia secara menyeluruh menunjukkan 349 kaunter rugi, 295 kaunter untung, manakala 319 kaunter tidak berubah, 912 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.29 bilion saham bernilai RM710.05 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.42, Tenaga merosot dua sen kepada RM13.84, Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM8.25, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM24.70 dan RM5.65.

Bagi kaunter aktif, Sapura Energy dan Tatt Giap turun setengah sen kepada 30 sen dan 14 sen namun Seacera menokok 2.5 sen kepada 25.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 3.07 mata kepada 11,555.18, Indeks FBMT 100 turun 3.46 mata kepada 11,442.76, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 1.38 mata kepada 11,466.43.

FBM 70 menokok 11.61 mata kepada 13,510, manakala Indeks FBM Ace meningkat 17.93 mata kepada 4,442.42.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 5.23 mata kepada 17,389.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.66 mata kepada 160.66, manakala Indeks Perladangan menambah 2.56 mata kepada 7,107.78.

-BERNAMA

Berita Harian X