Selasa, 15 Januari 2019 | 10:11am

Harga minyak naik di tengah-tengah pengurangan bekalan OPEC

SINGAPURA: Harga minyak naik pagi ini di tengah-tengah pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia, meskipun berdepan unjuran prospek ekonomi yang perlahan mengatasi keuntungan.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$50.78 setong pada 0041 GMT, naik 27 cents, atau 0.5 peratus, berbanding penutup sebelumnya.

Sementara, niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$59.62 setong pada 0133 GMT, naik 63 cents, atau 1.1 peratus, berbanding penutup sebelumnya.

“Kesan pengurangan oleh OPEC, sekatan terhadap Iran dan pengurangan pengeluaran bulan ke bulan di Amerika Syarikat (AS) akan membantu menyokong harga minyak dari paras semasa,” menurut Bank AS JP Morgan, dalam notanya.

Pengeluar minyak Timur Tengah yang dikuasai anggota OPEC dan negara bukan OPEC, termasuk Russia pada akhir 2018, sudah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak bagi mengawal lebihan bekalan.

Sementara, AS pada akhir November lalu, memperkenalkan semula sekatan terhadap eksport minyak Iran.

Walaupun Washington sudah mempersetujui memberikan pengecualian sekatan minyak terhadap Iran, eksport di kebanyakan negara di Asia dan Timur Tengah merosot.

Bagaimanapun, harga minyak telah meningkat hari ini selepas niaga hadapan minyak mentah susut lebih dua peratus pada sesi sebelumnya, diseret oleh kelemahan data perdagangan China yang mana menunjukkan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan. - REUTERS

Berita Harian X