Khamis, 10 Januari 2019 | 6:39pm

Ringgit cecah paras tertinggi dalam empat bulan

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan melepasi di bawah paras RM4.10 sedolar disokong beberapa faktor luaran yang positif.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada paras RM4.0990 berbanding satu dolar AS, lebih tinggi berbanding paras penutup sebelumnya, RM4.1143 sedolar.

Belian berterusan mendorong mata wang tempatan itu mencecah paras tinggi dalam tempoh empat bulan, RM4.0935 pada 11.38 pagi, demikian mengikut data Bloomberg.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata dengan ringgit melepasi paras RM4.10 sedolar telah menarik perhatian pelabur terhadap bon tempatan.

Beliau berkata, dengan kekurangan kehadiran dalam pasaran kontrak hadapan tidak boleh diserah (NDF), pelabur membeli bon tempatan untuk memanfaatkan pendedahan mata wang.

Tambahan pula, katanya banyak faktor yang menyokong ringgit untuk terus mengukuh meskipun berdepan risiko.

“Pendirian Rizab Persekutuan AS yang kurang agresif, dolar AS yang lemah, hasil bon AS yang rendah dan kenaikan harga minyak mencadangkan ringgit akan meningkat ke paras sokongan kritikal sekitar RM4.0750,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berkata pihaknya berpendapat adalah pramatang untuk menjangkakan pengukuhan tukaran asing Asia dengan risiko penurunan terhadap pertumbuhan dan keadaan kewangan global yang ketat masih wujud.

Beliau menyifatkan peningkatan dalam mata wang Asia hanya sementara selepas keadaan terlebih jualan dalam pasaran baharu muncul.

“Kami mengekalkan unjuran bagi ringgit pada paras RM4.23 sedolar menjelang pertengahan tahun dan RM4.25 sedolar menjelang akhir tahun,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Berita Harian X