Jumaat, 28 Disember 2018 | 5:40pm
Harga minyak naik sebanyak AS$1 hari ini. - Foto hiasan

Harga minyak naik AS$1, Brent AS$53.17 setong

SEOUL: Harga minyak naik sebanyak AS$1 hari ini, menamatkan kerugian pada sesi sebelumnya, namun peningkatan dalam stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan berterusan mengenai ekonomi global terus meletakkan pasaran minyak di bawah tekanan.

Minyak mentah Brent naik AS$1.01 atau 1.94 peratus, kepada AS$53.17 setong pada 0740 GMT yang sebelum ini naik sebanyak 3.1 peratus. Ia turun 4.24 peratus, atau AS$2.31, sehari sebelum ditutup pada AS$52.16 setong.

Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) AS, berada pada AS$45.71 setong, meningkat 2.47 peratus atau AS$1.10, selepas terdahulu naik 3.6 peratus.

Ia turun 3.48 peratus atau AS$1.61 kepada AS$44.61 setong pada Khamis.

Harga minyak jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh lebih setahun pada Khamis, sehari selepas rali terbesar dalam tempoh dua tahun, berikutan kebimbangan mengenai ekonomi global dan lebihan bekalan.

“Pada masa ini, pasaran saham dan pasaran minyak akan berkait satu sama lain,” kata penganalisis komoditi di Kiwoom Securities Seoul, Ahn Yea-Ha.

“Kebimbangan kelembapab ekonomi global memberi kesan kepada pergerakan pasaran saham dan harga minyak juga tidak bebas daripada kemelut berkenaan.”

Saham Asia naik pada Jumaat selepas saham AS meneruskan kenaikan untuk hari kedua berturut-turut.

Ketua perdagangan Asia Pasifik di broker niaga hadapan Oanda di Singapura, Stephen Innes, berkata harga minyak mentah ditekan oleh kelembapan pertumbuhan ekonomi global ditambah dengan jangkaan pengeluaran AS yang tinggi menjelang tahun baharu.

Inventori minyak mentah AS bagi tempoh seminggu hingga 21 Disember meningkat sebanyak 6.9 juta tong kepada 448.2 juta tong berikutan peningkatan output, menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Petroleum Amerika. Agensi Maklumat Tenaga AS mengumumkan laporan rasminya hari ini.

Berita Harian X