Rabu, 5 Disember 2018 | 2:18pm

Bursa Malaysia kekal negatif akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia kekal dalam prestasi negatif pada tengah hari ini, berikutan penjualan berterusan dalam saham berwajaran tinggi terpilih, termasuk saham berkaitan utiliti dan telekomunikasi, kata peniaga.

Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.26 mata kepada 1,685.73 daripada 1,685.73 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 11.41 mata lebih rendah kepada 1,683.58 dan bergerak antara 1,683.58 dan 1,688.60 sepanjang sesi pagi.

Bagi pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 497 berbanding 181, manakala 293 kaunter tidak berubah, 898 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.06 bilion unit bernilai RM675.55 juta.

Tenaga susut 26 sen kepada RM13.90, Maxis turun 13 sen kepada RM5.37, Axiata kurang lapan sen kepada RM3.87 manakala Digi jatuh dua sen pada RM4.30.

Semua kaunter ini menyumbang 5.81 mata kepada indeks komposit semasa rehat tengah hari.

Peniaga berkata aliran menurun bursa tempatan adalah seiring dengan bursa serantau memandangkan sentimen masih tidak menentu, dipengaruhi penurunan semalaman Wall Street, dalam keadaan ketidaktentuan berkaitan kemelut perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

Sementara itu, tempoh dagangan bagi beberapa bursa AS akan lebih pendek hari ini sempena hari memperingati mendiang Presiden George H.W. Bush.

Bagi saham berwajaran tinggi lain, Maybank dan CIMB masing-masing turun dua sen kepada RM9.40 dan RM5.79, Public Bank meningkat dua sen kepada RM24.90 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.40.

Saham aktif, Bumi Armada susut satu sen kepada 16 sen, Techbond Group yang disenaraikan buat kali pertama di Pasaran Utama melonjak 21.5 sen kepada 87.5 sen, Sanichi menambah setengah sen kepada 17.5 sen dan Hibiscus Petroleum turun empat sen kepada RM1.07.

Indeks FBM Emas Syariah merosot 105.56 mata kepada 11,652.11, FBM 70 turun 111.14 mata kepada 13,494.56 dan Indeks FBM Ace kurang 14.40 mata pada 4,790.88.

Indeks FBM Emas turun 74.77 mata kepada 11,627.22 dan Indeks FBMT 100 susut 70.48 mata kepada 11,501.50.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 50.45 mata kepada 6,886.51, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian pula 0.94 mata lebih rendah kepada 169.45, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 14.59 mata kepada 17,431.63.

-- BERNAMA

Berita Harian X