Selasa, 4 Disember 2018 | 10:16am
SAHAM Asia susut pada sesi awal dagangan hari ini. - Foto hiasan

Saham Asia dibuka lebih rendah

SHANGHAI: Saham Asia susut pada sesi awal dagangan hari ini selepas wujud keraguan berhubung ‘gencatan senjata’ perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China sama ada dua negara berkenaan mampu menyelesaikan perbezaan sebelum tarikh akhir 90 hari.

Indeks meluas MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun susut 0.2 peratus selepas pasaran Australia mencatat kerugian 0.5 peratus dan Kospi Seoul jatuh 0.6 peratus.

Indeks saham Nikkei Jepun pula 0.3 peratus lebih rendah.

Pembekuan sementara terhadap perang dagang antara AS-China mencetuskan kenaikan dalam pasaran ekuiti semalam, yang menolak indeks MSCI di seluruh negara naik 1.3 peratus.

Namun, sebelum dagangan berakhir semalam, indeks utama AS menyusut daripada paras tertinggi selepas pelabur memikirkan isu yang tidak dapat diselesaikan oleh kedua-dua negara.

Semalaman, Purata Perindustrian Dow Jones ditutup 1.13 peratus lebih tinggi, S&P 500 menambah 1.09 peratus dan Komposit Nasdaq menokok 1.51 peratus.

“Secara keseluruhan, laporan dagangan semalaman mungkin meninggalkan pasaran dengan lebih banyak persoalan berbanding jawapan sama ada AS dan China benar-benar mampu menyelesaikan pertikaian dalam tempoh 90 hari?,” kata penganalisis National Australia Bank dalam nota penyelidikan.

“Ia kelihatan memerlukan lebih banyak butiran terperinci dan tanda-tanda kemajuan jika pergerakan permulaan dagangan yang sensitif dapat dikekalkan.” - Reuters

Berita Harian X