Khamis, 29 November 2018 | 7:20pm
PADA jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.58 peratus atau 9.79 mata pada 1,696.34 berbanding semasa ditutup pada Rabu pada 1,686.55 selepas dibuka 8.30 mata lebih tinggi pada 1,694.85. - Foto hiasan
PADA jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.58 peratus atau 9.79 mata pada 1,696.34 berbanding semasa ditutup pada Rabu pada 1,686.55 selepas dibuka 8.30 mata lebih tinggi pada 1,694.85. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi dalam sesi dagangannya hari ini, didorong oleh sokongan pembelian dalam kebanyakan saham berkaitan indeks yang diterajui Maybank, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.58 peratus atau 9.79 mata pada 1,696.34 berbanding semasa ditutup pada Rabu pada 1,686.55 selepas dibuka 8.30 mata lebih tinggi pada 1,694.85.

Suasana pasaran bergerak dalam julat 7.78 mata antara 1,694.85 dan 1,702.63 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran lebih luas, bagaimanapun kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 583 berbanding 316, manakala 353 kaunter tidak berubah, 669 kaunter tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.16 bilion unit bernilai RM2.44 bilion daripada 1.66 bilion unit bernilai RM2.11 bilion pada Rabu.

Pengarah Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata faktor luaran termasuk peningkatan semula lebih kukuh dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) telah membantu meningkatkan sentimen pelabur hari ini.

“Ulasan Rizab Persekutuan AS yang mencadangkan ia mungkin lebih perlahan dalam meningkatkan kadar faedah turut menyokong pasaran komoditi dan meningkatkan nilai ringgit berbanding dolar AS.

“Bagaimanapun, pelabur akan terus memantau Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) berikutan Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan mengadakan pertemuan pada hujung minggu ini, dengan harapan ketegangan perang perdagangan tidak akan semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Nazri Khan berkata Disember biasanya adalah permulaan baik bagi pasaran saham berikutan kebanyakan dana besar dijangka mengumpulkan saham sebelum Tahun Baharu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menokok dua sen keapda RM9.45 dan RM24.90. Tenaga jatuh dua sen kepada RM14.24, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM9.25, manakala CIMB naik 10 sen kepada RM5.85.

IHH Healthcare naik 25 sen kepada RM5.50.

Daripada saham aktif, Bumi Armada susut 7.5 sen kepada 19 sen, Genting Malaysia turun 16 sen kepada RM2.84 manakala Tatt Giap menokok setengah sen kepada 15.5 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, PPB naik 90 sen kepada RM17.90 dan Nestle meningkat 80 sen kepada RM147.00.

Indeks FBM Emas Shariah naik 78.10 mata kepada 11,797.40, FBM 70 melonjak 21.85 mata kepada 13,731.42 tetapi Indeks FBM Ace susut 85.90 mata pada 4,803.27.

Indeks FBM Emas meningkat 44.75 mata kepada 11,731.17 dan Indeks FBMT 100 naik 55.62 mata kepada 11,603.89.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 89.00 mata kepada 7,035.08, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.20 mata lebih tinggi pada 171.63 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 80.99 mata kepada 17,467.17.

Jumlah dagangan pasaran utama meningkat kepada 1.54 bilion saham bernilai RM2.38 bilion daripada 1.11 bilion saham bernilai RM1.98 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 359.65 juta unit bernilai RM80.92 juta berbanding 341.71 juta unit bernilai RM80.45 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 255.56 juta saham bernilai RM58.36 juta berbanding 206.78 juta saham bernilai RM46.35 juta pada Rabu.

Bagi dagangan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan pengguna membabitkan 297.10 juta saham, produk dan perkhidmatan perindustrian (274.84 juta), pembinaan (91.10 juta), teknologi (177.51 juta), SPAC (15,000), perkhidmatan kewangan (45.76 juta), hartanah (96.25 juta), perladangan (44.49 juta), REITs (7.64 jutan), tertutup/dana (sifar), tenaga (334.11 juta), penjagaan kesihatan (38.41 juta), telekomunikasi dan media (70.62 juta), pengangkutan dan logistik (31.78 juta dan utiliti (32.87 juta. - BERNAMA

Berita Harian X