Selasa, 27 November 2018 | 1:46pm

Bursa Malaysia kekal negatif tengahari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal negatif pada rehat tengahari, berikutan pelabur kekal tidak memasuki pasaran, memantau sentimen risiko global.

Pada 12.30 tengahari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 16.19 mata pada 1,685.80, selepas dibuka 3.27 mata lebih rendah pada 1,698.72.

Indeks itu bergerak antara 1,684.91 dan 1,699.09 sepanjang sesi pagi.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata kebimbangan baharu berhubung ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menaikkan tarif ke atas import China.

Pelabur juga turut terkesan dengan pengumuman beliau bahawa Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) sebagai pengganti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) untuk mengimbangi semula hubungan dagangan AS dengan Mexico dan Kanada.

Kaunter turun mengatasi naik sebanyak 560 berbanding 162 dengan 302 tidak berubah manakala 889 tidak didagangkan dan 23 yang lain digantung.

Sejumlah 1.72 bilion saham bertukar tangan bernilai RM1.27 bilion.

Perdagangan harian proprietari (PDT) dan jualan singkat intrahari (IDSS) saham Genting Malaysia digantung untuk baki hari ini berikutan harga dagangan terakhir yang diluluskan jatuh lebih 15 sen atau 15 peratus berbanding harga rujukannya.

Aktiviti PDT dan IDSS syarikat itu hanya akan dibolehkan esok jam 8.30 pagi, kata Bursa Malaysia dalam pengumuman khas di laman webnya.

Genting Malaysia yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Fox dan Disney adalah kaunter paling aktif dan antara yang mencatat penurunan terbesar setakat tengahari.

Tindakan undang-undang itu diambil Genting Malaysia kerana syarikat terbabit menarik diri daripada perjanjian untuk menaja taman tema Fox World di luar Kuala Lumpur.

Genting Malaysia menuntut ganti rugi lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion). - Agensi

Berita Harian X