Selasa, 27 November 2018 | 11:58am
- Foto Genting.com

Genting muncul kaunter paling aktif

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd muncul kaunter paling aktif di Bursa Malaysia hari ini susulan tindakan undang-undangnya terhadap Walt Disney Co (Disney) dan 21st Century Fox Inc (Fox) di Los Angeles.

Pada 9.35 pagi, harga sahamnya susut 42 sen kepada RM3.18, selepas dibuka 60 sen lebih rendah kepada RM3.00 hari ini.

Ini turut menyebabkan syarikat induk Genting Malaysia, harga saham Genting Bhd merosot 35 sen kepada RM6.55 pada 10.02 pagi, selepas dibuka 50 sen lebih rendah kepada RM6.40.

Dilaporkan Genting Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap Fox dan Disney kerana menarik diri daripada perjanjian untuk menaja taman tema Fox World di luar Kuala Lumpur.

Genting Malaysia menuntut ganti rugi lebih AS$1 bilion, mendakwa Disney tidak mahu dikaitkan dengan perniagaan perjudiannya berikutan syarikat gergasi Hollywood itu akan memuktamadkan pengambilalihan aset hiburan 21st Century Fox.

Dipercayai Genting Malaysia sudah melabur AS$750 juta dalam taman itu, yang dijangka dibuka pada 2020.

Pada 2013, Fox memeterai perjanjian pelesenan dengan Genting Malaysia untuk membangunkan taman tema dengan jenama Fox yang pertama di dunia.

Berbanding Disney, yang memiliki tamannya sebahagian atau keseluruhan, Genting Malaysia akan memiliki dan membiayai taman itu sepenuhnya, dengan Fox mendapat pengurangan hasil daripada runcit, makanan dan minuman. - BERNAMA

Berita Harian X