Selasa, 20 November 2018 | 4:14pm

Harga minyak dunia susut

SINGAPURA: Pasaran minyak mentah kehilangan momentum pada Selasa berikutan unjuran ekonomi yang menurun dan lonjakan dalam pengeluaran Amerika Syarikat (AS) yang mengatasi pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak berada pada AS$66.43 setong, susut 36 cents atau 0.5 peratus daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$56.97 setong, susut 23 cents, atau 0.4 peratus di bawah penutup sebelum ini.

Kemerosotan itu menyusuli peningkatan harga yang berlaku dalam sesi awal dagangan.

Menurut penganalisis yang berpangkalan di Singapura, Benjamin Lu berkata potensi turun naik dilihat tidak menentu berikutan pergerakan menaik kini kehilangan momentum.

Harga minyak kini berada hampir suku di bawah kenaikan terbaharu pada awal Oktober lalu, dipengaruhi oleh lonjakan bekalan terutamanya dari AS.

Pengeluaran minyak mentah AS melonjak sebanyak hampir 25 peratus tahun ini untuk mencatat rekod sehingga 11.7 juta tong sehari.

Ia berlaku di tengah-tengah jangkaan pasaran meluas mengenai kelembapan ekonomi yang menyaksikan pasaran saham Asia susut pada Selasa dan turut menambah kepada kerugian mendadak di Wall Street pada hari sebelumnya.

Hasilnya, peniaga kewangan kini semakin berwaspada terhadap pasaran minyak mentah memandangkan terdapat risiko kejatuhan harga yang lebih banyak disebabkan oleh pertumbuhan dalam pengeluaran minyak syal AS.

-Reuters

Berita Harian X