Selasa, 13 November 2018 | 10:15pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut hari ini, berikutan ketidaktentuan global seperti hubungan perdagangan AS-China yang mencabar, kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih cepat dan turun naik harga minyak mentah yang terus menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.57 mata, atau 0.50 peratus, kepada 1,687.57 daripada 1,696.14 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka rendah 9.48 mata kepada 1,686.66 dan berada antara 1,680.09 dan 1,691.91 sepanjang hari.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 484 berbanding 323, manakala 353 kaunter tidak berubah, 722 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan, bagaimanapun naik kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.93 bilion berbanding 1.63 bilion unit bernilai RM1.32 bilion pada Isnin.

Peniaga berkata walaupun pasaran saham China meningkat semula selepas berita bahawa perunding perdagangan utama China mungkin mengunjungi Amerika Syarikat sebelum pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara itu, berita itu tidak memberi impak positif kepada pasaran ekuiti serantau yang lain, termasuk Bursa Malaysia.

"Berita itu memberi harapan kepada pengurangan ketegangan perang perdagangan AS-China, tetapi menjangka kenaikan kadar oleh Fed yang lebih cepat pada tahun ini dan 2019 terus mempengaruhi minat untuk mengambil risiko dalam kalangan pelabur," katanya.

Beliau berkata turun naik harga minyak mentah, dengan penanda aras minyak mentah Brent merosot di bawah AS$70 setong pada 5 petang hari ini, turut menyebabkan pelabur mengelak daripada pasaran aset risiko.

Bagaimanapun, peniaga percaya pengumuman penting, seperti data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku ketiga, dijadual diumumkan pada 16 Nov, data Tuntutan Pengangguran Awal AS pada 15 Nov dan data pengeluaran perindustrian China bagi Oktober pada 14 November akan dapat menyediakan hala tuju pelaburan kepada pelabur.

Pada penutup, saham wajaran tinggi IOI Corp mencatatkan penurunan terbesar, merosot 14 sen kepada RM4.35, manakala IHH Healthcare turun 13 sen kepada RM4.54, Axiata berkurangan tujuh sen kepada RM3.45, Digi susut lapan sen kepada RM4.34 dan Dialog merosot lima sen kepada RM3.27.

Daripada saham aktif, Securemetric yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 28.5 sen kepada 53.5 sen, Prestariang naik setengah sen kepada 70.5 sen manakala Sapura Energy susut satu sen kepada 37 sen, Hibiscus turun dua sen kepada RM1.10 dan MRCB susut tiga sen kepada 74.5 sen.

Panasonic Manufacturing mendahului senarai kaunter paling rugi dengan merosot 48 sen kepada RM37.78, manakala Heineken dan Dutch Lady, masing-masing turun 36 sen kepada RM19.40 dan RM63.60, Nestle berkurangan 30 sen kepada RM143.60 dan MPI jatuh 26 sen kepada RM12.14.

Indeks FBM Emas merosot 56.95 mata kepada 11,702.08, Indeks FBMT 100 jatuh 57.37 mata kepada 11,540.38 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 80.60 mata kepada 11,840.19.

FBM 70 berkurangan 63.09 mata kepada 13,642.64 dan Indeks FBM Ace merosot 41.43 mata kepada 4,917.50.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.09 mata kepada 172.89, Indeks Perladangan merosot 60.59 mata kepada 7,257.65 dan Indeks Kewangan turun 20.63 mata kepada 17,050.33.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.15 bilion saham bernilai RM1.69 bilion daripada 1.08 bilion saham bernilai RM1.20 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 411.38 juta unit bernilai RM102.88 juta berbanding 282.53 juta unit bernilai RM65.22 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 470.52 juta saham bernilai RM141.06 juta berbanding 261.24 juta saham bernilai RM51.75 juta sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 154.29 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perindustrian dan perkhidmatan (268.13 juta), pembinaan (41.79 juta), teknologi (167.83 juta), SPAC (94,000), perkhidmatan kewangan (34.33 juta), hartanah (116.88 juta), perladangan (14.52 juta), REIT (7.50 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (254.85 juta), penjagaan kesihatan (25.06 juta), telekomunikasi dan media (30.25 juta), pengangkutan dan logistik (21.22 juta), dan utiliti (20.85 juta). - BERNAMA

Berita Harian X