Selasa, 13 November 2018 | 5:56pm
PENGERUSI Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan. - Foto Nik Hariff Hassan
PENGERUSI Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan. - Foto Nik Hariff Hassan

FIM 2019, penganjur unjur transaksi urus niaga RM400 juta

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2019) mengunjurkan menjana potensi pelaburan francais bernilai RM400 juta dalam tempoh tiga hari penganjurannya pada 5 hingga 7 April depan.

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan, berkata pihaknya menetapkan sasaran itu berdasarkan perkembangan ekonomi semasa.

Katanya, beliau yakin ia mampu dicapai berdasarkan penganjuran FIM2018 yang mencatatkan transaksi potensi urus niaga bernilai RM410 juta berbanding RM373 juta pada 2017 .

“Tahun lalu kita tetapkan RM370 juta dan berjaya memperoleh RM410 juta dalam transaksi urus niaga.

“Selain itu, sambutan diterima amat baik dengan setakat ini 30 peratus pempamer sudah mengesahkan penyertaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Radzali berkata setakat ini juga beberapa negara seperti Thailand, Jepun, Amerika Syarikat, Australia, Turki, Taiwan dan Korea Selatan menunjukkan minat yang tinggi untuk menyertai FIM 2019.

“Untuk FIM 2019 ini kita buat penambahbaikan dengan menetapkan gerai pameran mengikut beberapa kategori utama seperti makanan, pendidikan, perkhidmatan penyelenggaraan, pakaian dan aksesori serta kesihatan dan kecantikan berbanding tiada pengkhususan sebelum ini.

“Ini akan memudahkan pengunjung termasuk bakal pelabur untuk tumpu kepada sesuatu kategori yang ingin dipilih,” katanya.

Tambah Radzali, FIM 2019 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah pameran francais terbesar di Asia Tenggara dan menjadi landasan terbaik bagi menyokong usaha kerajaan membangunkan lebih ramai usahawan francais dan menjadikan negara ini hab francais serantau menjelang 2020.

“Sebanyak 140 ruang pameran disediakan untuk penggiat francais dan kita mensasarkan kehadiran 12,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Radzali, FIM 2019 bertujuan mengumpulkan usahawan francais tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan serta institusi kewangan di bawah satu bumbung bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan serta peluang perniagaan francais merangkumi pelbagai sektor.

“FIM2019 ini disokong penuh oleh Majlis Francais Sedunia (WFC) Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Selain kegiatan utama pameran dan persidangan antarabangsa, turut diadakan sesi pemadanan perniagaan antara francaisor dan bakal usahawan francais serta sesi perundingan francais dan Franchise In-Buying Mission (FIBM),” katanya.

Berita Harian X