Isnin, 5 November 2018 | 7:38pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan keadaan yang tidak menentu menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) pada 6 November.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.1730/1780 berbanding dolar AS daripada paras 4.1600/1650 pada Jumaat.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad, berkata mengikut kebanyakan data pengundian, Parti Demokrat dijangka menguasai Dewan Perwakilan dengan Parti Republikan mengekalkan majoriti dalam Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal itu.

“Keputusan seumpama itu akan mengehadkan kuasa Presiden Donald Trump dalam meluluskan dasar, sama ada fiskal atau perdagangannya, yang mana itulah sebabnya mengapa pasaran sedang pesat membangun berisiko berdepan keadaan tidak menentu ekoran para pelabur merombak semula kedudukan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit ditutup bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0325/0372 daripada 3.0321/0362 pada Jumaat tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6838/6885 daripada 3.6889/6940.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4266/4347 daripada 5.4196/4266 tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.7493/7554 daripada 4.7582/7643.

-- BERNAMA

Berita Harian X