Sabtu, 13 Oktober 2018 | 4:33pm

Dagang ringgit lebih defensif minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam kedudukan defensif, berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang pembentangan Belanjawan 2019, dan akan mengekalkan paras minggu lepas pada 4.14 dan 4.16 dolar AS, kata Ketua Pedagang OANDA Asia-Pacific, Stephen Innes.

“Ini dijangkakan walaupun terdapat berita positif bahawa pegawai Jabatan Perbendaharaan AS menasihati Setiausaha, Steven Mnuchin bahawa China tidak memanipulasi yuan.

“Oleh itu, jika Trump dan Mnuchin menerimanya, yang disambut baik oleh pasaran, ini dapat menghindari pasaran pesat membangun Asia berhadapan krisis mata wang, dan akan mengelak peningkatan perang perdagangan AS-China. Ini juga membayangkan mata wang tempatan tidak akan bergerak melepasi 4.16 minggu depan,” katanya.

Bagaimanapun, Innes berkata, peningkatan sentimen risiko akan menyokong harga minyak, yang seterusnya menyokong sentimen ke atas nota tempatan.

Pada Jumaat, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada AS$80.58 setong, naik 0.40 peratus.

Pada asas Jumaat-Jumaat, ringgit menyusut nilai kepada 4.1530/1560 berbanding dolar AS daripada 4.1440/1490.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, nota tempatan didagangkan rendah.

Ringgit menyusut berbanding yen kepada 3.6971/7008 daripada 3.6383/6443 Jumaat lalu, dan lemah berbanding euro pada 4.8092/8139 daripada 4.7639/7714.

Nota tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0149/0175 daripada 2.9975/3.0022 dan rendah berbanding pound British kepada 5.4861/4917 daripada 5.4017/4091.

-- BERNAMA

Berita Harian X