Jumaat, 21 September 2018 | 7:17pm

Ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan permintaan yang baik dalam kalangan pelabur untuk mata wang tempatan sejajar dengan pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1280/1320 berbanding dolar daripada 4.1350/1400 pada Khamis.

Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda, Stephen Innes, berkata sentimen di pasaran baru muncul berterusan meningkat sementara ekuiti serantau adalah positif berbanding dolar US yang lemah secara keseluruhan.

Ringgit bercampur-campur berbanding beberapa mata wang.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.6609/6654 daripada 3.6837/6898 pada Khamis, tetapi susut berbanding euro kepada 4.8607/8679 daripada 4.8380/8459 sebelumnya.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0271/0304 daripada 3.0216/0261 pada Khamis, bagaimanapun meningkat berbanding pound British kepada 5.4428/4501 daripada 5.4594/4677 semalam. - BERNAMA

Berita Harian X