Selasa, 21 Ogos 2018 | 7:01pm
PEMBATALAN ECRL jejas harga saham Gabungan AQRS, HSS Engineers. - Foto fail NSTP

Pembatalan ECRL jejas harga saham Gabungan AQRS, HSS Engineers

KUALA LUMPUR: Aktiviti pelaburan jangka pendek (PDT) dan jualan singkat intra-hari (IDSS) bagi kaunter Gabungan AQRS Bhd dan HSS Engineering Bhd digantung pada baki sesi dagangan hari ini.

Ia berikutan saham kedua-dua syarikat itu mencecah had dagangan yang ditetapkan oleh bursa saham, selepas menyusut lebih 15 sen atau 15 peratus daripada harga rujukan masing-masing susulan laporan pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Aktiviti PDT dan IDSS akan diteruskan pada jam 8.30 pagi, Khamis ini.

Gabungan AQRS mencatatkan prestasi terburuk untuk Indeks Pembinaan Bursa Malaysia selepas menyusut 10.22 peratus sehari untuk ditutup kepada RM1.23.

Saham HSS Engineering pula menurun 16.37 peratus untuk ditutup pada 94 sen.

Penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli, berkata ia hanya mainan sentimen (sentiment play) untuk kedua-dua saham itu.

“Ia hanya reaksi sementara. Jualan itu adalah berikutan pandangan negatif terhadap pengumuman berkenaan. Impak pembatalan ECRL tidak begitu signifikan,” katanya kepada NSTP.

Bagaimanapun, kedua-dua saham itu turut menjadi pilihan penganalisis, dengan 100 peratus panggilan ‘beli’ walaupun pembatalan projek ECRL.

Gabungan AQRS mempunyai sasaran harga saham RM1.89, iaitu lebih banyak daripada 50 peratus potensi menaik daripada harga terakhir.

Sementara itu, HSS Engineers mempunyai lebih 20 peratus potensi menaik dengan harga sasaran RM1.16.

Berita Harian X