Khamis, 16 Ogos 2018 | 2:36pm

Bursa kekal rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari susulan tekanan jualan berterusan di kebanyakan kaunter berkaitan indeks, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.26 mata kepada 1,77.68 berbanding 1,785.94 pada penutupan Rabu.

Indeks itu dibuka 3.82 mata lebih rendah pada 1,782.12 dan bergerak antara 1,782.28 dan 1,773.74 sepanjang dagangan pagi.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 527 berbanding 253, manakala 369 kaunter tidak berubah, 732 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.25 bilion unit bernilai RM885.36 juta.

Seorang peniaga berkata sesi dagangan pagi yang lemah itu sejajar kedudukan bursa serantau ekoran kebimbangan terhadap krisis kewangan Turki serta kelembapan ekonomi China.

"Namun berita mengenai kemungkinan China mengadakan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) bulan ini, mungkin dapat mengurangkan beberapa kerugian hari ini," kata peniaga itu.

China dilaporkan berkata delegasi yang diketuai naib menteri perdagangannya akan ke Amerika Syarikat pada akhir Ogos atas undangan Washington.

Di Bursa Malaysia, musim pelaporan keputusan kewangan korporat, yang mungkin menyaksikan angka yang lebih baik berbanding jangkaan, juga boleh menyokong sentimen belian di pasaran ekuiti tempatan, katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.78 dan Public Bank tidak berubah pada RM24.48.

Tenaga susut lapan sen kepada RM15.74, Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM9.26 dan CIMB turun dua sen kepada RM5.86.

Bagi saham aktif, Advance Synergy dan QES masing-masing menambah setengah sen kepada 17 sen dan 24 sen manakala AHB menokok tiga sen kepada 21 sen.

Bagi saham paling rugi, BAT merosot 30 sen kepada RM35.70, Heineken turun 28 sen kepada RM22.16 dan Petronas Gas susut 20 sen pada RM18.46.

Indeks FBM Emas merosot 57.30 mata kepada 12,585.16, Indeks FBMT100 jatuh 58.06 mata kepada 12,354.30 dan FBM 70 turun 74.75 mata kepada 15,358.93.

Indeks FBM Emas Syariah merosot 73.54 mata kepada 12,478.74 dan FBM Ace turun 7.44 mata kepada 5,527.52.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 44.96 mata kepada 17,380.89, Indeks Perladangan turun 29.50 mata kepada 7,590.39 manakala Indeks Perusahaan turun 22.86 mata kepada 3,221.48. - BERNAMA.

Berita Harian X