Ahad, 12 Ogos 2018 | 5:51pm

Aliran masuk dana asing kurang tekanan rizab, ringgit

KUALA LUMPUR: Aliran masuk portfolio asing ke dalam pasaran bon dan ekuiti tempatan membantu mengurangkan tekanan terhadap kedudukan rizab asing, selain daripada menyokong pengukuhan ringgit.

Berdasarkan perangkaan terkini Institut Kewangan Antarabangsa (IIF), belian bersih dalam bon dan ekuiti negara ini berterusan sehingga awal bulan ini.

Pada bulan lalu, pelabur asing menjadi pembeli bersih pasaran bon berjumlah RM4.0 bilion, sementara dalam pasaran ekuiti, penjualan bersih dana asing semakin berkurangan kepada RM1.7 bilion pada Julai berbanding RM4.9 bilion yang dicatatkan pada Jun lalu.

Justeru, jika tidak ada peningkatan mendadak dalam penghindaran risiko, rizab asing Bank Negara Malaysia akan berada di atas paras AS$100 bilion disokong oleh pengukuhan lebihan akaun semasa dan kemasukan bersih pelaburan langsung asing (FDI), demikian pandangan Ahli Ekonomi Kanan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), Julia Goh.

Beliau berkata, peraturan pertukaran asing Bank Negara Malaysia akan menyediakan satu lagi sokongan kestabilan bagi ringgit.

Bagaimanapun, pihaknya kekal berhati-hati kerana peningkatan turun naik yang tidak menentu dalam pasaran baharu muncul dijangka berterusan tahun ini.

“Pengukuhan berterusan dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah ketegangan perdagangan AS-China meletakkan ringgit dalam risiko kelemahan sejajar dengan mata wang Asia yang lain.

“Melangkah ke hadapan, kami terus menjangkakan sedikit kelemahan dalam ringgit dan mengunjurkan ringgit berbanding dolar AS pada berada paras RM4.08 menjelang akhir tahun ini dan RM4.12 pertengahan tahun depan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Goh berkata, faktor utama yang perlu dipantau yang boleh melemahkan mata wang Asia ialah peningkatan berterusan tindakan balas perdagangan AS-China; impak terhadap pertumbuhan eksport serantau; kelemahan berterusan yuan dan pulangan perbendaharaan AS.

Rizab antarabangsa Bank Negara susut AS$200 juta kepada AS$104.5 bilion setakat akhir bulan lalu. Paras rizab itu mencukupi untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, pelabur asing menjual RM8.5 bilion dalam pasaran ekuiti domestik, namun penjualan besar-besaran itu diimbangi oleh belian institusi tempatan berjumlah RM9.9 bilion setakat ini tahun ini.

Pembalikan corak aliran portfolio di Malaysia itu sejajar dengan lantunan sederhana dalam aliran portfolio pasaran baharu muncul pada bulan lalu.

Berita Harian X