Rabu, 27 Jun 2018 | 9:30am

Harga minyak meningkat

SINGAPURA: Harga minyak mentah meningkat hari ini dipengaruhi oleh gangguan bekalan di Libya serta selepas pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata semua negara patut menghentikan import minyak mentah Iran bermula November ini.

Niaga hadapan Brent berada pada AS$76.60 setong, naik 29 cents, atau 0.4 peratus daripada penutup akhirnya.

AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$70.79 setong, naik 26 cents, atau 0.3 peratus.

AS memberitahu negara sekutunya untuk mengurangkan import minyak mentah Iran kepada sifar bermula November ini, kata pegawai kanan Jabatan Negara semalam.

"Harga minyak melonjak semalaman selepas berita berkenaan," kata Ketua Dagangan Asia Pasifik di firma pembrokeran OANDA, Stephen Innes.

Beliau turut memberi amaran "Libya akan terus menjadi titik kebimbangan yang penting dalam rantaian bekalan minyak".

Sementara itu, pergelutan antara kerajaan rasmi dan penentang menjadikan pihak yang akan mengendalikan simpanan minyak Libya yang besar tidak jelas walaupun lewat petang semalam sumber berkata pelabuhan minyak Hariga dan Zueitina di timur Libya masih beroperasi seperti biasa.

-Reuters

Berita Harian X