Khamis, 21 Jun 2018 | 7:31pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana dolar terus mengukuh dan mencecah paras tertinggi 11 bulan berikutan jangkaan berlaku lagi peningkatan dalam kadar faedah tahun ini, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0140/0170 berbanding dolar berbanding penutup semalam sebanyak 4.0040/0070.

Ketua Global Strategi Mata Wang dan Kajian Pasaran FXTM, Jameel Ahmad, berkata peningkatan terkini dalam dolar AS menyebabkan ringgit lemah 0.20 peratus.

"Momentum belian untuk dolar AS adalah tidak berhenti-henti dan meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap pasaran baharu muncul di seluruh Asia.

"Bagaimanapun, penyusutan ringgit hari ini adalah lebih rendah berbanding beberapa mata wang di rantau ini," katanya kepada Bernama.

Baht Thai susut lebih 0.5 peratus manakala rupiah Indonesia mengalami kelemahan melebihi 1.2 peratus sementara won Korea susut 0.6 peratus dan yuan China susut lebih 0.4 peratus, tambahnya.

Ringgit diniagakan kebanyakan tinggi berbanding beberapa mata wang kecuali yen Jepun.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9461/9493 daripada penutup semalam iaitu 2.9465/9491 dan meningkat berbanding pound British kepada 5.2620/2675 berbanding 5.2677/2720.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6233/6276 daripada 4.6298/6349 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6355/6386 daripada 3.6354/6391 semalam.

-- BERNAMA

Berita Harian X