Khamis, 21 Jun 2018 | 5:07pm

Harga minyak global susut

LONDON: Harga minyak susut hari ini, susulan ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) semakin hampir memuktamadkan perjanjian untuk meningkatkan jumlah pengeluaran minyak mentah.

Penanda aras minyak mentah Brent menyusut 60 cents satu tong kepada AS$74.14 pada 0725 GMT manakala minyak mentah Amerika Syarikat (AS) menurun 35 cents kepada AS$65.36.

Brent mencecah paras tinggi tiga tahun setengah iaitu atas paras AS$80 satu tong bulan lalu, namun menyusut beberapa minggu lalu selepas ketua de-facto OPEC, Arab Saudi, memberi tanda untuk meningkatkan pengeluaran bagi menstabilkan harga.

Negara ahli OPEC akan mengadakan mesyuarat di Vienna esok, dan pakatan itu dijangka akan bersetuju meningkatkan pengeluaran, dibantu oleh beberapa negara pengeluar minyak bukan OPEC, termasuk Russia.

Iran sebelum ini dijangka akan menentang sebarang usul untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah, namun kini negara itu memberi tanda akan menyokong pengeluaran dengan jumlah kecil.

"OPEC dijangka meningkatkan pengeluaran agregat antara 500,000 tong sehari (bpd) dan sejuta bpd," kata ketua strategi minyak di BNP Paribas, Harry Tchilinguirian.

Ketua Pedagang OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes, berpendapat perjanjian pakatan itu akan dipersetujui dengan lancar.

OPEC, bersama pengeluar minyak utama termasuk Russia, mula menyekat pengeluaran minyak pada 2017 untuk meningkatkan harga, namun pasaran yang lebih ketat menyebabkan permintaan terhadap minyak terus meningkat.

-- REUTERS

Berita Harian X