Selasa, 19 Jun 2018 | 6:38pm

Ringgit ditutup di bawah RM4 berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit hari ini ditutup di bawah paras RM4 berbanding sedolar, sekali gus menyaksikannya berada di atas paras psikologi itu buat kali pertama dalam tempoh lima bulan.

Mata wang tempatan itu memulakan dagangannya hari ini pada paras RM3.9975 berbanding sedolar AS dan kemudian terus didagangkan lebih rendah dengan melepasi paras RM4 pada sesi dagangan petang, demikian mengikut data Bloomberg.

Ia ditutup rendah berbanding dolar AS kepada RM4.0025 selepas berlegar antara RM3.9973 dan RM4.0035 sepanjang dagangan hari ini.

Penganalisis pasaran berkata, penyusutan nilai ringgit itu sejajar dengan prestasi lemah mata wang serantau lain berikutan kebimbangan terhadap peningkatan risiko perang perdagangan antara AS dan China.

Rata-rata penganalisis mengunjurkan tinjauan dalam tempoh terdekat bagi tukaran asing pasaran baharu muncul Asia kekal rapuh susulan kebimbangan perang perdagangan memandangkan rantau itu sangat bergantung kepada eksport.

Ketua Pedagang OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes, pasaran tukaran asing Asia berdepan kesukaran dan kelihatan sangat terdedah kepada peningkatan momentum aliran keluar yang berterusan memandangkan pelabur semakin bimbang dengan akibat perang perdagangan.

Beliau berkata, perbezaan dasar kekal menjadi perhatian berikutan pelabur amat berhati-hati mengenai risiko yang bakal muncul semula.

"Ringgit menguji paras kritikal berbanding dolar AS. Bagaimanapun, ringgit kekal kurang terjejas terhadap kejutan perdagangan luaran dan pengukuhan dolar AS berbanding mata wang serantau lain," katanya.

Sementara itu, pasaran saham Asia turut menjunam semalam.

Di China, Indeks Komposit Shanghai jatuh 3.78 peratus manakala Indeks Hang Seng kehilangan 2.78 peratus.

Pasaran lain menyaksikan Nikkei 225 susut 1.77 peratus, manakala Kospi Korea Selatan berada 1.52 peratus lebih rendah.

Reuters melaporkan, saham Asia dan Shanghai susut ke paras terendah dalam tempoh dua tahun semalam ketika Presiden AS, Donald Trump mengancam mengenakan tarif baharu ke atas barangan China, menghangatkan lagi perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Berita Harian X