Isnin, 28 Mei 2018 | 6:18pm

Harga minyak terus menyusut

SINGAPURA: Harga minyak global susut hari ini, meneruskan penurunan pada Jumaat, susulan Arab Saudi dan Russia menyatakan mereka akan meningkatkan bekalan minyak dan keuntungan pengeluaran Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan sebarang tanda pengurangan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$75.70 satu tong pada 0655 GMT, susut 74 cents, atau satu peratus daripada semasa penutupan terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas berada pada AS$66.78 satu tong, susut AS$1.1 ata 1.6 peratus.

Brent dan WTI masing-masing sudah menyusut enam peratus dan 8.3 peratus sejak mencecah paras tertinggi pada bulan ini.

Di China, niaga hadapan minyak mentah Shanghai merosot 3.8 peratus kepada 462.3 yuan (AS$72.34) satu tong.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) serta negara pengeluar utama bukan OPEC, Russia, mula menahan bekalan pada 2017 untuk mengetatkan pasaran dan meningkatkan harga minyak

Ia susut kepada paras rendah sedekad pada AS$30 satu tong.

Namun harga kembali melonjak sejak langkah pengurangan bekalan minyak dilaksanakan tahun lalu, dengan Brent melebihi paras AS$80 satu tong pada awal Mei, mencetuskan kebimbangan bahawa harga tinggi akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mencetuskan inflasi.

"Kadar kenaikan harga minyak baru-baru ini mencetuskan debat dalam kalangan pelabur sama ada ia menimbulkan risiko penurunan pertumbuhan global," kata ketua ekonomi di bank AS Morgan Stanley, Chetan Ahya, dalam satu nota.

-REUTERS

Berita Harian X