Khamis, 24 Mei 2018 | 6:39pm

Harga minyak global menyusut

SINGAPURA: Harga minyak menyusut pada Khamis berikutan jangkaan bahawa ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan pengeluaran susulan kebimbangan terhadap bekalan dari Venezuela dan Iran.

Peningkatan inventori minyak mentah yang tidak dijangka di Amerika Syarikat (AS) turut mendorong kepada penyusutan harga minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, menyusut 37 cents, atau 0.46 peratus kepada AS$79.43 satu tong pada 0610 GMT.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) menurun 27 cents, atau 0.38 peratus, kepada AS$71.57 satu tong.

OPEC mungkin akan memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak untuk mengimbangi kekurangan bekalan daripada Iran dan Venezuela, menurut sumber industri minyak kepada Reuters.

Kebimbangan bekalan di Iran dan Venezuela berikutan sekatan baharu AS mendorong Brent dan WTI ke paras tertinggi, dengan Brent melepasi paras AS$80 minggu lalu untuk kali pertama sejak November 2014

"Jangkaan adalah OPEC akan bertindak pada mesyuarat Jun ini sebagai maklum balas kepada kejatuhan pengeluaran minyak mentah di Iran dan Venezuela," kata ketua strategi pasaran di AxiTrader, Greg Mckenna.

OPEC dan beberapa negara pengeluar minyak bukan ahli OPEC dijangka akan mengadakan perjumpaan pada 22 Jun di Vienna.

Pakatan itu sebelum ini bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak sehingga 1.8 juta tong sehari (bpd) untuk mengukuhkan harga minyak.

"Setiap petanda bahawa pakatan itu akan menamatkan perjanjian itu akan memberi tekanan kepada harga," kata Bank ANZ dalam satu nota.

-REUTERS

Berita Harian X