Selasa, 8 Mei 2018 | 7:52pm

Bursa Malaysia catat untung sehari terbesar 2 tahun

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penurunan lima hari dagangan berturut-turut dengan ditutup kukuh hari ini, mencatatkan keuntungan sehari terbesarnya sejak 29 Januari 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata aliran meningkat hari ini dirangsang terutamanya daripada aliran masuk dana asing apabila para pelabur yakin parti pemerintah -- Barisan Nasional -- akan menang majoriti kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) esok (Rabu).

Pada sesi penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 18.31 mata, atau satu peratus kepada 1,846.51 daripada paras penutup 1,828.20 pada Isnin.

Indeks tersebut dibuka rendah 8.25 mata kepada 1,819.95 dan bergerak antara paras 1,819.28 dan 1,851.73 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 677 berbanding 281, dengan 405 kaunter tidak berubah, 498 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.35 bilion unit bernilai RM2.80 bilion.

Nazri Khan memberi tahu Bernama setakat ini, aliran masuk dana asing ke pasaran ekuiti tempatan berjumlah RM3.1 billion, menjadikan Bursa Malaysia bursa saham paling memberangsangkan di ASEAN.

"Mengenai aliran meningkat hari ini, kita boleh lihat yang ia adalah ulangan kepada apa yang berlaku semasa PRU13, apabila aliran masuk asing berjumlah sehingga RM300 juta pada 4 Mei, 2013, sahaja, manakala pada 6 Mei, 2013, sehari selepas pilihan raya, dana pelaburan asing yang memasuki bursa tempatan melonjak kepada RM1.4 bilion dalam satu hari.

"Ini menunjukkan pelabur asing yakin dengan kemenangan parti pemerintah sekarang," katanya.

Nazri Khan menjangka petunjuk pasaran itu akan mencatatkan kenaikan pada 10 Mei dan mencecah paras tertinggi 1,900, sekiranya Barisan Nasional terus kekal memerintah selepas pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Malaysia RHB Research Institute Sdn Bhd Alexander Chia berkata aliran meningkat sebelum pilihan raya di Bursa Malaysia dijangkakan apabila para pelabur membuat pegangan semula menjelang hari pengundian.

"ini berlaku sama seperti pada PRU13, apabila peserta pasaran membuat pegangan semula dalam pasaran," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik 23 sen kepada RM6.90, Maybank meningkat 16 sen kepada RM10.70, Axiata dan RHB Bank menokok 18 sen setiap satu masing-masing kepada RM5.29 dan RM5.27, manakala IHH Healthcare menambah sembilan sen kepada RM6.05.

Bagi kaunter cergas, Sapura Energy naik tiga sen kepada 67 sen, Nexgram meningkat setengah sen kepada 6.5 sen, Hibiscus Petroleum menokok empat sen kepada 86.5 sen, Opcom Holdings menambah 16 sen kepada 60.5 sen manakala UMW Oil and Gas tidak berubah pada 27.5 sen.

Nestle menerajui senarai kaunter untung utama meningkat sebanyak RM1.90 kepada RM137.00, manakala kaunter rugi utama F&N turun 70 sen kepada RM10.40.

Indeks FBM Emas melonjak 132.70 mata kepada 12,885.71, Indeks FBMT 100 meningkat 130.23 mata kepada 12,698.44, Indeks FBM Emas Shariah naik 104.71 mata kepada 13,075.36, FBM Ace menokok 99.80 mata kepada 5,212.33 dan FBM 70 menambah 171.70 mata kepada 15,303.26.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 297.01 mata kepada 18,080.59, Indeks Perusahaan naik 12.29 mata kepada 3,196.55 dan Indeks Perladangan menambah 7.84 mata kepada 7,849.72.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.32 bilion saham bernilai RM2.60 bilion daripada 1.06 bilion saham bernilai RM1.93 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 645.32 juta unit bernilai RM119.44 juta berbanding 583.01 juta unit bernilai RM115.70 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 374.34 juta saham bernilai RM81.06 juta daripada 269.0 juta saham bernilai RM41.52 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 35.42 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (277.26 juta), pembinaan (87.52 juta), perdagangan dan perkhidmatan (633.32 juta), teknologi (47.62 juta), prasarana (18.35 juta), SPAC (9.58 juta), kewangan (92.12 juta), hotel (4.23 juta), hartanah (93.11 juta), perladangan (24.59 juta), perlombongan (52,500), REITs (5.54 juta), dan dana tertutup (6,300).

-- BERNAMA

Berita Harian X