Selasa, 8 Mei 2018 | 5:26pm

Harga minyak susut sedikit

HONG KONG: Harga minyak jatuh di Asia daripada paras tertinggi tiga setengah tahun apabila pelabur berhati-hati menunggu keputusan Donald Trump mengenai program nuklear Iran lewat hari ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) mengumumkan dalam satu twitnya bahawa dia akan membuat pengumuman pada 1800 GMT sama ada akan mengenakan atau tidak sekatan terhadap Iran yang mampu mengurangkan bekalan minyak mentah.

Walaupun terdapat gesaan daripada pemimpin dunia untuk tidak melancarkan sekatan berkenaan, terdapat pendapat umum menyatakan bahawa Trump akan melanggar pakatan yang dimeterai pada 2015, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pergolakan terbaharu di Asia Barat.

Dengan pergolakan terbaharu ini bersama dengan pengeluaran oleh Russia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), serta peningkatan permintaan di AS dan ekonomi yang semakin pulih - menyebabkan harga minyak kepada paras tertinggi sejak akhir 2014, walaupun aktiviti pengambilan untung kedua-dua kontrak berundur pada Selasa.

Niaga hadapan minyak mentah AS didagangkan pada AS$70.11 setong pada sesi terakhir, turun 0.9 peratus daripada penutup Isnin.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan AS$75.64 setong, turun 0.7 peratus, selepas naik AS$76.34 pada Isnin.

"Minyak mencatatkan keuntungan lebih tinggi baru-baru ini di sebalik kebimbangan bahawa Presiden Trump akan mengeluarkan AS daripada perjanjian nuklear Iran dan akan mengeruhkan lagi keadaan di Asia Barat," kata Greg McKenna, ketua strategi pasaran di AxiTrader.

Sementara itu, pasaran ekuiti Asia meneruskan momentum positif yang dicatatkan semalam dengan Hong Kong mendahului pasaran susulan pengumuman data perdagangan China. - Reuters

Berita Harian X