Selasa, 8 Mei 2018 | 5:25pm

Pasaran Asia berhati-hati menjelang pengumuman Trump

TOKYO/SHANGHAI: Harga minyak susut sedikit hari ini, sehari selepas mencecah paras tertinggi tiga setengah tahun, apabila pelabur menunggu keputusan Presiden Donald Trump sama ada mengeluarkan Amerika Syarikat daripada perjanjian nuklear Iran, yang mana mampu mengganggu bekalan minyak mentah global.

Saham di Eropah dilihat stabil selepas saham Asia mencatatkan peningkatan, dibantu oleh saham teknologi berikutan hasil pendapatan mengatasi kelemahan dalam pasaran telefon pintar dunia dan kebimbangan mengenai lebih banyak peraturan.

Pemerhati menjangkakan FTSE Britain meningkat 0.2 peratus dan DAX Jerman meningkat 0.1 peratus.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pada Isnin melonjak melebihi AS$70 setong kali pertama sejak November 2014, peningkatan sebanyak 18 peratus tahun ini selepas paras terendah yang dicatatkan pada Februari.

"Pasaran minyak meningkat berikutan kemungkinan Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran. Jika dia berhajat untuk mengenakan sekatan yang sama seperti dilakukan AS pada 2012, ia mungkin menyebabkan kekurangan bekalan minyak," kata Tatsufumi Okoshi, ahli ekonomi komoditi kanan di Nomura Securities.

Menambahkan lagi tekanan pasaran, penyusutan dalam pengeluaran minyak mentah Venezuelan berikutan masalah yang dihadapi syarikat minyak nasional negara itu, PDVSA.

Niaga hadapan minyak mentah AS didagangkan pada AS$70.11 setong pada sesi terakhir, turun 0.9 peratus daripada penutup Isnin.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan AS$75.64 setong, turun 0.7 peratus, selepas naik AS$76.34 pada Isnin.

Walaupun pasaran berhati-hati dengan kenyataan Trump, firma teknologi membantu menjana keuntungan dalam ekuiti Asia.

Indeks meluas MSCI sahan Asia Pasifik di luar Jepun naik 0.6 peratus dengan saham teknologi maklumat meningkat 1.3 peratus. Nikkei Jepun naik 0.2 peratus.

Ahli strategi pasaran global di JPMorgan Asset Management Tokyo, Yoshinori Shigemi, berkata saham teknologi bergerak lebih tinggi dengan mengambil saham indeks yang lebih besar apabila lebih banyak wang mengalir dalam pasaran dana perdagangan (ETF). - Reuters

Berita Harian X