Khamis, 26 April 2018 | 7:33pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini selepas penurunan empat hari berturut-turut, menongkah arus berbanding prestasi bursa serantau yang ditutup kebanyakannya rendah, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,852.27, turun 0.34 mata daripada paras penutup 1,851.93 pada Rabu.

Ia dibuka 4.26 mata lebih tinggi kepada 1,856.19 dan bergerak antara paras 1,846.54 dan 1,863.57 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 442 berbanding 349 manakala 449 kaunter kekal tidak berubah, 674 tidak diniagakan dan 88 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM2.13 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM1.97 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong oleh belian dalam saham wajaran tinggi.

Beliau berkata, ekuiti Asia kebanyakannya rendah di tengah-tengah kebimbangan akan peningkatan kadar hasil bon Amerika Syarikat dan kesan inflasi selain menilai musim pelaporan pendapatan yang berterusan sekarang bagi mencari petunjuk keupayaan ekuiti global berdepan dengan kadar faedah tinggi.

"Bursa Malaysia dianggap sebagai satu daripada pasaran selamat di rantau ini, terlindung daripada kemudahruapan, dengan pasaran hari ini disokong oleh (kedua-dua) institusi, serta, belian asing," katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun naik 0.47 peratus kepada 22,319.61, Kospi Korea Selatan meningkat 1.10 peratus kepada 2,475.64, Straits Times Index Singapura menokok 0.08 peratus kepada 3,570.76, manakala Hang Seng Hong Kong susut 1.06 peratus kepada 30,007.68, dan Jakarta Composite Index Indonesia jatuh 2.81 peratus kepada 5,909.20.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM10.68, Petronas Chemicals meningkat dua sen kepada RM8.41, CIMB naik tiga sen kepada RM7.20, Public Bank susut 12 sen kepada RM23.72, manakala Tenaga tidak berubah pada RM15.84.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy meningkat satu sen kepada 67.5 sen, Nexgram dan PUC susut setengah sen setiap satu masing-masing kepada 6.5 sen dan 20 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada lapan sen.

Indeks FBM Emas naik 40.98 mata kepada 12,899.16, Indeks FBMT 100 meningkat 40.93 mata kepada 12,716.77 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 40.40 mata kepada 13,040.11.

FBM 70 meningkat 181.57 mata kepada 15,252.35 dan FBM Ace menokok 23.02 mata kepada 5,275.71.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 46.02 mata kepada 18,221.48, Indeks Perladangan menambah 10.78 mata kepada 7,965.22, manakala Indeks Perusahaan berkurangan 5.75 mata kepada 3,200.64.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.07 bilion saham bernilai RM1.90 bilion daripada 1.06 bilion saham bernilai RM1.84 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 605.65 juta unit bernilai RM173.95 juta daripada 533.38 juta unit bernilai RM88.64 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 366.91 juta saham bernilai RM56.82 juta daripada 279.99 juta saham bernilai RM38.92 juta.

Barangan pengguna menyumbang 115.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (220.74 juta), pembinaan (47.05 juta), perdagangan dan perkhidmatan (491.08 juta), teknologi (58.31 juta), prasarana (14.78 juta), SPAC (7.51 juta), kewangan (45.32 juta), hotel (922,500), hartanah (36.97 juta), perladangan (18.74 juta), perlombongan (15,600), REITs (13.89 juta), dan dana tertutup (49,500).

-- BERNAMA

Berita Harian X