Isnin, 23 April 2018 | 10:11am

Ringgit kukuh berbanding mata wang utama

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan kekurangan permintaan, kata peniaga.

Pada 9.21 pagi, ringgit disebut pada harga 3.8980/9010 daripada 3.8950/8000 penutup Jumaat.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata pulangan bon 10 tahun AS mendekati paras tiga peratus dan ini menyebabkan pengukuhan dolar.

"Dengan pulangan bon AS lebih tinggi, sentimen ringgit akan kekal lemah dalam jangka pendek, terutamanya apabila diambil kira premium risiko pilihan raya," katanya kepada BERNAMA.

Untuk jangka lebih panjang, Innes berkata persekitaran makro jangka sederhana dan kadar inflasi domestik yang rendah akan menjadikan Sekuriti Kerajaan Malaysia menarik dan menyokong ringgit.

Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ia menokok kepada 2.9593/9620 daripada 2.9624/9665 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.6133/6164 daripada 3.6172/6229.

Ringgit mengukuh kepada 5.4630/4676 daripada 5.4779/4865 berbanding pound British dan menokok kepada 4.7828/7869 daripada 4.7909/7982 apabila dibandingkan dengan euro. - BERNAMA

Berita Harian X