Khamis, 19 April 2018 | 10:39am

Brent menokok kepada AS$73.79 setong

SINGAPURA: Harga minyak kekal menghampiri paras tertinggi yang dicapai semalam, paras yang dapat dilihat pada akhir 2014.

Harga kekal tinggi itu dipacu oleh inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) yang merosot dan langkah pengeksport utama, Arab Saudi yang dijangka mengekalkan bekalan untuk menampung pasaran.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$73.79 setong pada 0028 GMT, naik 31 cent atau 0.4 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 29 cent atau 0.4 peratus kepada AS$68.76 setong.

Brent pada Rabu mencecah paras tertinggi sejak November 2014 kepada AS$73.93 setong.

WTI mencecah paras paling kukuh sejak Disember 2014 kepada AS$68.91 setong.

Reuters melaporkan pengeksport utama minyak, Arab Saudi dilihat teruja melihat harga minyak mentah meningkat kepada AS$80 atau lebih AS$100 setong, yang mana ia dilihat sebagai petanda bahawa Riyadh tidak akan mengubah perjanjian pengurangan bekalan OPEC yang diperkenalkan pada 2017 untuk memacu harga.

"Arab Saudi dan pakatannya dalam OPEC memerlukan harga yang lebih tinggi bagi membantu kedudukan fiskal dan negara.

"Jadi mereka mungkin terus memerah usaha ketika masih berpeluang," kata Ketua Strategi Pasaran AxiTrader, Greg McKenna.

Diterajui Arab Saudi, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan kumpulan pengeluar lain temasuk Russia mula mengekang pengeluaran pada 2017 bagi mengatasi masalah lebihan bekalan yang memberi kesan kepada harga sejak 2014.

- Reuters

Berita Harian X