Jumaat, 13 April 2018 | 6:56pm

Bursa Malaysia rendah berbanding bursa serantau

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berbanding prestasi bursa serantau, selepas peningkatan indeks utama selama enam hari berturut-turut, diheret turun oleh jualan di kaunter berkaitan indeks, diketuai MISC, Petronas Chemicals dan Astro.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang bergerak ke jajaran negatif di sepanjang hari, ditutup pada 1,868.47, turun 5.15 mata berbanding 1,873.62 pada penutupan semalam.

Indeks turun naik antara 1,866.02 dan 1,871.13 hari ini.

Namun, belian semasa harga rendah saham-saham bermodal sederhana dan kecil membantu mengimbangi aliran menurun dalam pasaran saham, dengan FTSE Bursa Malaysia Small Cap Index meningkat 163.14 mata kepada 15,127.11.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 601 berbanding 325, manakala 387 kaunter tidak berubah, 581 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.72 bilion unit bernilai RM2.19 bilion berbanding 3.27 bilion unit bernilai RM2.34 bilion semalam.

Peniaga berkata, sentimen mengambil risiko, kini kembali ke dalam pasaran apabila ketegangan geopolitik dan perang perdagangan kembali reda, selain Amerika Syarikat (AS) yang menimbang semula untuk menyertai pakatan Perkongsian Trans-Pasifik yang dianggotai 11 anggota.

"Perkembangan luaran yang positif ini mengimbangi kegiatan membuat keuntungan susulan peningkatan baru-baru ini," katanya kepada Bernama.

Di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.97 peratus kepada 3,502.29, Nikkei Jepun melonjak 0.55 peratus kepada 21,778.74, namun Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.07 peratus kepada 30,808.38.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank turun enam sen kepada RM23.98, Tenaga susut dua sen kepada RM15.88, dan Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM8.40.

CIMB menokok satu sen kepada RM7.21 manakala Maybank tidak berubah pada RM10.54.

Saham paling rugi ialah Kuala Lumpur Kepong yang merosot 42 sen kepada RM25.56, manakala KESM Industries mengetuai kaunter paling untung apabila meningkat 76 sen kepada RM18.16.

Sapura Energy, saham paling aktif didagangkan, meningkat 5.5 sen kepada 74 sen dengan 258.99 juta saham bertukar tangan.

Bagi kaunter aktif lain, Ucrest menokok empat sen kepada 35 sen, Hibiscus meningkat 5.5 sen kepada 92 sen, Bio Osmo menambah satu sen kepada enam sen manakala SKH Consortium tidak berubah pada 9.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 6.09 mata kepada 13,129.50 dan Indeks FBMT 100 turun 15.70 mata kepada 12,921.62.

Indeks FBM Emas Shariah bagaimanapun meningkat 4.20 mata kepada 13,352.70, FBM 70 menambah 48.62 mata kepada 15,819.58 dan FBM Ace melonjak 146.25 mata kepada 5,646.13.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan susut 22.56 mata kepada 3,220.98, Indeks Perladangan turun 11.14 mata kepada 8,054.53, namun Indeks Kewangan menambah 3.52 mata kepada 18,261.84.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.61 bilion unit bernilai RM2.01 bilion berbanding 2.05 bilion unit bernilai RM2.16 bilion kelmarin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 595.02 juta unit bernilai RM74.17 juta daripada 778.77 juta unit bernilai RM103.22 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE, bagaimanapun meningkat kepada 503.08 juta saham bernilai RM100.67 juta berbanding 435.32 juta saham bernilai RM75.89 juta kelmarin.

Barangan pengguna menyumbang sejumlah 124.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian (386.26 juta), pembinaan (86.61 juta), perdagangan dan perkhidmatan (678.57 juta), teknologi (120.4 juta), infrastruktur (8.07 juta), SPAC (16.38 juta ), kewangan (48.68 juta), hotel (4.19 juta), hartanah (88.59 juta), perladangan (43.25 juta), perlombongan (51,700), REIT (5.38 juta) dan dana/tertutup (2,000). - BERNAMA

Berita Harian X