Khamis, 12 April 2018 | 7:11pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan momentum belian yang lemah, dengan permintaan tinggi ke atas dolar, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan disebut harga pada 3.8750/8780 berbanding dolar AS daripada 3.8730/8760 pada penutupan semalam.

Ketua Pedagang OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata ringgit diheret turun disebabkan langkah mengelak risiko oleh pedagang, sekali gus menjejaskan sentimen ke atas unit tempatan.

"Kurangnya aktiviti dalam pasaran bon domestik meletakkan ringgit dalam kedudukan tertekan untuk kembali mengukuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-14," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, harga minyak kekal menyokong, namun pasaran diselubungi sentimen mengelakkan risiko dan kurangnya minat ke atas ringgit.

Innes berkata, pasaran tukaran asing kembali suram, namun penggiat pasaran kekal dalam kedudukan berhati-hati ekoran amaran tinggi ke atas kedudukan geopolitik di Asia Barat yang semakin meningkat.

Unit tempatan didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9553/9580 berbanding 2.9594/9628 semalam, namun rendah berbanding yen kepada 3.6235/6274 daripada 3.6206/6248.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.7810/7862 berbanding 4.7940/7981 semalam dan meningkat berbanding pound kepada 5.4905/4951 daripada 5.4966/5012. - BERNAMA

Berita Harian X