Khamis, 12 April 2018 | 10:32am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ringgit dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum peningkatannya apabila dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari keempat berturut-turut hari ini susulan redanya kebimbangan mengenai perang dagangan ketika harga minyak terus mengukuh, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut pada 3.8700/8730 berbanding 3.8730/8760 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, janji Presiden China Xi Jinping untuk mengurangkan cukai import ternyata melenyapkan kebimbangan mengenai konflik dagangan AS-China dan menyebabkan para pelabur kembali ke pasaran yang berisiko.

"Berikutan itu, ekuiti global mencatat peningkatan manakala harga minyak naik susulan kenyataan Xi," katanya.

Beliau berkata kebimbangan terhadap konflik ketenteraan di Timur Tengah berikutan ancaman tindakan tentera AS terhadap Syria, juga membantu meningkatkan harga minyak.

Brent yang merupakan penanda aras global bagi minyak mentah, mencecah AS$71.93 setong pada Rabu.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9578/9612 daripada 2.9594/9628 pada Rabu dan tinggi berbanding yen kepada 3.6192/6230 daripada 3.6206/6248.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4911/4962 daripada 5.4966/5012 dan lebih tinggi berbanding euro pada 4.7887/7928 daripada 4.7940/7981. - BERNAMA

Berita Harian X