Isnin, 9 April 2018 | 10:19am

Pasaran minyak mentah stabil

SINGAPURA: Pasaran minyak mentah kembali stabil pada Isnin selepas susut sekitar dua peratus pada Jumaat lalu berikutan kebimbangan berterusan mengenai pertikaian dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Penurunan itu juga disebabkan oleh aktiviti penggalian di AS yang meningkat.

Niaga hadapan WTI adalah AS$62.17 setong, naik 11 cents, atau 0.2 peratus daripada penutupan terdahulu.

Niaga hadapan Brent pula adalah sebanyak AS$67.23 setong, naik 12 cents, atau 0.2 peratus.

Harga minyak mentah susut sekitar dua peratus Jumaat lalu selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif baru ke atas China, sekali gus mencetuskan kebimbangan perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu yang boleh menjejaskan pertumbuhan global.

Ketua Dagangan Asia/Pasifik OANDA di Singapura, Stephen Innes berkata walaupun kemungkinan berlakunya perang dagangan boleh menjejaskan sentimen pertumbuhan global, kebimbangan sebenarnya adalah jika China mengenakan cukai ke atas minyak yang diimport dari AS ke negara berkenaan.

Di pasaran fizikal, pengeluar nombor dua Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Iraq berkata ia mengekalkan harganya bagi bekalan minyak mentah bulan Mei. -Reuters

Berita Harian X