Jumaat, 23 March 2018 | 8:07pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menjejaki prestasi kebanyakan mata wang Asia berikutan kebimbangan berlaku perang perdagangan antara AS dengan China, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit disebut pada paras 3.9150/9200 berbanding dolar AS daripada 3.9120/9150 yang dicatat pada Khamis.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata perang perdagangan itu mendominasi landskap pasaran hari ini dan aset berisiko itu menyaksikan dagangan lemah ketika pasaran ekuiti serantau terjejas akibat pendirian dasar perlindungan AS.

"Ringgit terperangkap akibat ketidaktentuan itu. Di satu sudut, dagangan pasaran ekuiti tempatan adalah rendah namun kelemahan dolar AS yang ketara itu turut memberi kesan kepada ringgit selepas risiko awal mencetuskan jualan saham secara ketara," katanya.

Selain itu, ringgit juga kebanyakannya diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama dunia, kecuali pound Britain.

Ia juga susut berbanding euro kepada 4.8245/8318 daripada 4.8243/8299 pada Khamis dan rendah berbanding yen kepada 3.7318/7383 daripada 3.7028/7074, sebelum ini.

Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9756/9799 daripada 2.9735/9770 namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5170/5248 daripada 5.5312/5370 pada Khamis.

-- BERNAMA

Berita Harian X