Rabu, 21 March 2018 | 10:19am

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini susulan kurangnya minat belian, kata peniaga.

Pada 9.01 pagi, nota tempatan disebut harga pada 3.9200/9250 berbanding 3.9150/9200 pada penutupan Selasa.

Ketua Perdagang OANDA Asia-Pasifik Stephen Innes berkata peniaga dan pelabur ringgit tempatan kini memantau panduan hadapan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat, selain unjuran kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) bahawa permintaan ke atas ringgit kini merosot.

Beliau berkata pasaran harus waspada dan memastikan bahawa sudah menjadi kelaziman dolar AS akan pulih daripada penyusutan harga menjelang mesyuarat FOMC.

"Trajektori kenaikan kadar yang lebih tinggi memastikan pasaran serantau tinggi, dan apabila mengambill kira kedudukan harga ekuiti domestik yang rendah sejak kebelakangan ini, ringgit dijangkakan terus tertekan dalam jangka pendek.

"Namun bagi ringgit, sentimen kita masih jauh dari persimpangan walaupun Fed diunjur menaikkan satu mata, akaun semasa yang dipacu ringgit dijangka terus menyokong di rantau ini," kata Innes dalam notanya hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nota tempatan itu tinggi berbanding euro kepada 4.8047/8113 berbanding 4.8205/8287 pada Selasa dan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 3.6811/6872 daripada 3.6816/6866 semalam.

Unit tempatan juga tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9713/9764 daripada 2.9727/9769 namun menyusut nilai berbanding pound British kepada 5.4919/4993 daripada 5.4912/4998.- BERNAMA

Berita Harian X