Isnin, 19 March 2018 | 9:41am

Kebanyakan saham Asia jatuh pagi ini

SYDNEY: Pasaran saham Asia jatuh di awal dagangan hari ini.

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka menaikkan kadar faedah dan mungkin memberi isyarat tiga lagi kenaikan bagi sepanjang tahun ini.

Indeks Nikkei Jepun jatuh 0.3 peratus berikutan pengeksport terjejas dengan pengukuhan yen baru-baru ini.

Indeks meluas saham Asia Pasifik MSCI tidak termasuk Jepun, merosot 0.1 peratus, sementara indeks utama Australia naik 0.1 peratus.

Sementara Wall Street meningkat pada Jumaat lalu, dengan indeks utama masih mengakhiri minggu lalu rendah.

Indeks Dow jatuh 1.57 peratus, Indeks S&P 1.04 peratus dan Indeks Nasdaq 1.27 peratus.

Kejatuhan itu mengejutkan memandangkan perangkaan daripada Bank of America, Merrill Lynch menunjukkan aliran masuk ke dalam ekuiti berada pada paras rekod sebanyak AS$43.3 bilion pada minggu lalu, mengatasi aliran masuk ke dalam pasaran bon buat pertama kali sejak 2013.

Setakat ini, AS$9.8 bilion dana masuk dalam saham teknologi dan AS$7.3 bilion ke dalam kewangan, sementara AS$41 bilion masuk ke dalam pasaran baharu muncul dan AS$31 bilion ke Jepun.

Sama ada aliran tunai akan terus mengalir masuk adalah bergantung kepada keputusan Fed Rabu ini.

Semua 104 penganalisis dalam pungutan pendapat yang dijalankan Reuters menjangkakan Fed akan menaikkan kadar antara 1.5 peratus dan 1.75 peratus pada Rabu ini.

Pada awal dagangan hari ini, dolar AS tidak berubah dengan berada pada paras 106.05 yen.

Mata wang itu kukuh sedikit berbanding kumpulan mata wang utama lain pada paras 90.272, sementara euro menyusut 0.1 peratus kepada AS$1.2276.

Prospek kadar faedah AS yang tinggi menjejaskan emas, yang mana harga logam berharga itu jatuh 0.8 peratus minggu lalu.

Pada awal dagangan hari ini, harga emas jatuh kepada AS$1,311.70 seaun.

Harga minyak mentah pula jatuh selepas mengakhiri minggu lalu dengan peningkatan kukuh.

Kontrak hadapan minyak mentah Brent jatuh 22 cents kepada AS$65.99 setong, sementara kontrak minyak mentah AS bagi penghantaran April jatuh 22 cents kepada AS$62.12 setong. - Reuters-

Berita Harian X