Khamis, 8 March 2018 | 10:54am

Ringgit dibuka kukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung cadangan AS mengenakan tarif import dan peletakan jawatan ketua penasihat ekonomi, Gary Cohn, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit disebut pada harga 3.9020/9060 berbanding dolar AS daripada 3.9030/9080 penutup sebelum ini.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata Presiden Donald Trump dijangka mengumumkan tarif ke atas import keluli dan aluminium sebelum hujung minggu ini, manakala pelabur dalam proses menyerap berita peletakan jawatan mengejut Cohn itu.

"Pelabur berharap pendekatan tarif yang lebih berkesan ditujukan kepada pelanggaran yang lebih ketara," kata Innes.

Dalam negara, Innes berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.25 peratus semalam, sudah dijangkakan, susulan unjuran prospek pertumbuhan global yang positif.

"Hanya kejutan inflasi yang akan mendorong kadar kenaikan kadar sekali lagi pada 2018.

"Namun, BNM sudah pasti akan membuka pintu untuk untuk mengembalikan dasar ke paras normal dengan memberi isyarat bahawa ia akan terus menilai keseimbangan pertumbuhan dan inflasi," katanya.

Sementara itu, nota tempatan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9675/9717 daripada 2.9687/9730 pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 3.6777/6825 daripada 3.6950/6008.

Berbanding euro, ringgit mengukuh kepada 4.8408/8473 daripada 4.8483/8561 namun menyusut berbanding pound British kepada 5.4246/4317 daripada 5.4107/4192 pada Rabu. - BERNAMA

Berita Harian X