Jumaat, 2 March 2018 | 2:55pm

Bursa Malaysia rendah akhir sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia negatif semasa mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini, berikutan penjualan di seluruh papan utama susulan sentimen lemah di pasaran serantau.

Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.16 mata kepada 1,857.70 daripada 1,860.86 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu bergerak antara 1,854.25 dan 1,859.54 sepanjang sesi pagi selepas dibuka 3.05 mata lebih rendah kepada 1,857.81.

Kedudukan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 634 berbanding​​​​​​​ 180, manakala 368 kaunter tidak berubah, 677 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.50 bilion saham bernilai RM1.03 bilion.

Peniaga berkata, dagangan di pasaran serantau dan Bursa Malaysia adalah negatif susulan kebimbangan berlanjutan terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang terus menjejaskan sentimen pelabur.

"Selain itu, pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis bahawa tarif yang tinggi akan dikenakan ke atas import keluli dan aluminium telah meningkatkan lagi kebimbangan pelabur," katanya.

Di peringkat tempatan, beliau berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia, yang susut kepada 49.9 pada Februari 2018 berbanding 50.5 pada Januari, susulan pengurangan tempahan baharu, turut menyebabkan pelabur tidak memasuki bursa tempatan.

Indeks itu adalah petunjuk komposit satu angka bagi prestasi sektor pembuatan, yang menunjukkan keadaan pembuatan sektor pengeluaran barangan Malaysia yang secara keseluruhannya mendatar.

Di peringkat rantau, Nikkei 225 Jepun merosot 522.81 mata atau 2.41 peratus kepada 21,201.66; Hang Seng Hong Kong susut 476.23 mata atau 1.53 peratus kepada 30,568.02; dan Straits Times Singapura kurang​​​​​​​ 34.98 mata atau 1.00 peratus kepada 3,478.87.

Antara saham wajaran tinggi, Hong Leong Bank, yang juga kaunter paling rugi, susut 62 sen kepada​​​​​​​ RM18.88, Maxis kurang sembilan sen kepada RM5.81, Press Metal turun 16 sen kepada RM5.63, Genting Malaysia menguncup lapan sen kepada RM5.23 dan YTL susut empat sen kepada RM1.41.

Saham aktif diniagakan, HB Global turun tiga sen kepada 25 sen, DBE Gurney dan Daya Materials masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan empat sen, manakala Asia Poly naik 1.5 sen kepaada 13.5 sen serta IRIS bertambah tiga sen kepada 19.5 sen.

Saham rugi, Heng Yuan merosot 60 sen kepada RM12.20, Ayer turun 45 sen kepada RM6.25, Panasonic menguncup 38 sen kepada RM34.50, United Plantations kurang 28 sen kepada RM28.40 dan Petron Malaysia susut 22 sen kepada RM10.52.

Indeks FBM Emas kurang 43.94 mata kepada 13,193.31, Indeks FBMT 100 turun 38.24 mata kepada​​​​​​​ 12,912.81 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 33.59 mata kepada 13,399.13.

FBM 70 merosot 102.77 mata kepada 16,032.95 dan FBM Ace turun 5.54 mata kepada 6,158.61.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 51.70 mata kepada 18,171.39 dan Indeks Perusahaan kurang 19.48 mata kepada 3,210.73.

Indeks Perladangan meningkat 17.59 mata kepada 8,101.55.

-- BERNAMA

Berita Harian X