Jumaat, 2 March 2018 | 9:23am
West Texas Intermediate.

Harga minyak AS meningkat

TOKYO: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat pada Jumaat, menamatkan penyusutan selama tiga hari berturut-turut sebelum ini.

Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) meningkat 25 cents, atau 0.4 peratus kepada AS$61.24 pada 0056 GMT.

Pada Khamis, ia berada 1.1 peratus daripada mencecah paras rendah dua minggu AS$60.18.

Penanda aras Brent masih belum diniagakan, selepas menyusut 1.4 peratus pada Khamis mencecah paras rendah dua minggu kepada AS$63.83 satu tong.

WTI dijangka akan menyusut 3.6 peratus minggu ini, penurunan mingguan pertama dalam tempoh tiga minggu, selepas melepaskan keuntungan beberapa minggu lalu apabila sentimen didorong oleh penurunan stok WTI di Cushing.

"Walaupun pengurangan stok di Cushing berterusan, dengan stok minyak berada lebih rendah daripada 30 juta tong buat kali pertama sejak akhir 2014, peningkatan keseluruhan bekalan minyak AS tetap menjadi tumpuan utama," kata penganalisis pasaran Forex.com, Fawad Razaqzada.

Stok minyak terus menyusut di Cushing, dengan inventori menurun sehingga 1.2 juta tong, penurunan 10 minggu berturut-turut, demikian menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS minggu lalu.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan bekalan minyak mentah AS meningkat pada minggu lalu sebanyak tiga juta tong hingga minggu berakhir 23 Februari, berbanding dengan jangkaan peningkatan 2.1 juta tong.

-REUTERS

Berita Harian X